Putrajaya ke suku akhir, momentum kemenangan kekal – Azam Shah
MELAKA – Regu Putrajaya meneruskan rentak cemerlang apabila mara ke suku akhir acara regu Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2025 selepas menewaskan Pahang dengan keputusan 17-15, 15-10 di Dewan Bola Keranjang MBMB, Bukit Serindit, malam tadi.

Pengurus Pasukan Putrajaya, Azam Shah, menzahirkan rasa syukur atas prestasi cemerlang yang ditunjukkan anak buahnya, terutama tekong Syahril yang menjadi penyumbang utama mata.
“Alhamdulillah, kita berjaya mara ke pusingan 16 dan seterusnya ke suku akhir. Taktikal yang dirancang menjadi, dan Syahril beraksi cemerlang menyumbang banyak mata untuk pasukan.
“Esok kami akan berbincang bersama jurulatih dan pemain bagi menghadapi cabaran seterusnya menentang Selangor.
“Harap momentum kemenangan ini dapat dikekalkan,” katanya kepada Malaysia Tribune selepas perlawanan.
Sementara itu, saingan lain menyaksikan Kuala Lumpur dan Perak menepati ramalan apabila turut melangkah ke suku akhir acara regu.
Gandingan tiga tonggak utama tekong Zarif Marican Ibrahim Marican, perejam Thailand Sutthikiart Panseankaew dan pengumpan Kamarul Ezzad Kamarul Imran membawa Kuala Lumpur menang bergaya 15-12, 15-5 ke atas KPT-Masum.
Regu Perak yang dibarisi dua pemain negara, Noraizat Nordin dan Aidil Aiman Azwawi bersama perejam Thailand, Kritsada Sungvung, turut menewaskan PDRM 15-5, 17-15.
Acara kuadran pula menyaksikan kemaraan Perak, Johor, Selangor, Terengganu dan Bomba, manakala KPM-MSSM mencipta kejutan apabila menundukkan PDRM 15-9, 15-12.
Jadual suku akhir esok menyaksikan pertarungan menarik antara Kuala Lumpur-Perak, Johor-KPM MSSM, Selangor-Terengganu dan Bomba-ATM.
Bagi kategori wanita, Selangor, Pahang, Perak, Mara, Kuala Lumpur, Sabah, Perlis dan PDRM sah melangkah ke suku akhir yang dijadualkan berlangsung pada jam 11 pagi dan 3 petang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








