BERITA SEMASA

Razman kekal Ketua Pembangkang selepas tamat penggantungan enam bulan

IPOH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria kekal sebagai Ketua Pembangkang DUN Perak selepas tamat tempoh penggantungannya selama enam bulan pada Oktober lalu.

Perkara itu disahkan Speaker DUN Perak, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid yang berkata, insiden penggantungan tersebut wajar dijadikan pengajaran kepada semua ADUN agar sentiasa menjaga adab dan tertib ketika bersidang.

“Tujuan kita berada dalam dewan ialah untuk melaksanakan urusan pentadbiran, meluluskan undang-undang serta membahaskan dasar dengan berhemah.

“Walaupun Ahli Dewan mempunyai imuniti, ia tidak bermaksud kita bebas daripada tindakan jika melampaui batas,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Razman digantung daripada menghadiri sidang DUN selepas didapati mengeluarkan kenyataan tidak benar berhubung insiden bendera negara China dikibarkan di Menara Condong Teluk Intan sempena sambutan Guan Gong Sedunia pada Oktober tahun lalu.

Dalam pada itu, Mohammad Zahir turut memaklumkan bahawa Belanjawan Perak 2026 akan dibentangkan pada Sidang DUN bermula 25 November hingga 2 Disember ini oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Katanya, belanjawan berkenaan akan memberi fokus kepada pelan Perak Sejahtera 2030 yang menekankan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri.

“Tempoh perbahasan bagi penyokong kerajaan dan ketua pembangkang ialah 45 minit setiap seorang, manakala ADUN lain diperuntukkan 20 minit.

“Sesi perbahasan dijadualkan berlangsung pada hari kedua persidangan iaitu pada 26 November ini,” katanya lagi.

Tambah beliau, tiga usul turut akan dibentangkan bagi melantik Ahli Jawatankuasa Pilihan meliputi Jawatankuasa Perintah-Perintah Tetap, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan serta Jawatankuasa Kebajikan Ahli.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button