Tanah Kampung Sungai Baru tidak boleh dipindah milik kepada bukan Melayu
KUALA LUMPUR – Tanah di Kampung Sungai Baru di sini mempunyai syarat sekatan yang menetapkan ia tidak boleh ditukar milik kepada orang bukan Melayu, kata Ahli Dewan di-Raja Selangor, Tan Sri Ambrin Buang.
Beliau berkata, syarat tersebut berkemungkinan belum sempat diterjemahkan untuk dimasukkan sebagai sebahagian daripada warta Malay Agricultural Settlement (MAS), iaitu kawasan asal pewartaan Kampong Bharu sejak tahun 1900.
Justeru menurutnya, sudah tiba masanya kerajaan Persekutuan mengambil langkah membetulkan keadaan dengan mewartakan semula tanah Kampung Sungai Baru sebagai sebahagian daripada tanah MAS, bagi memastikan hak penempatan orang Melayu terus terpelihara.
“Kedudukan tanah ini sangat strategik dan bernilai tinggi. Jika ia dibuka kepada penjualan bebas, orang Melayu tidak akan mampu membeli dan memilikinya,” katanya yang juga mantan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Tan Sri Ambrin Buang.
Kenyataan Ambrin itu dikongsikan dalam satu hantaran Facebook Selangor Royal Office hari ini.
Ambrin menjelaskan, hasil kajian dan semakan sejarah mendapati tanah Kampung Sungai Baru terbentuk selepas projek meluruskan Sungai Klang pada tahun 1967, menyebabkan wujud lebihan tanah berkeluasan 16.31 ekar di tebing kanan sungai.
Kawasan itu, katanya, termasuk dalam definisi pewartaan MAS bertarikh 16 Februari 1932 yang menyatakan tanah berkenaan sebagai “the right bank of Klang River”.
“Oleh itu, tanah lebihan tersebut sepatutnya diwartakan di bawah tanah MAS yang kini dikenali sebagai Kampung Sungai Baru,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di atas keprihatinan Baginda terhadap isu pembangunan Kampong Bharu dan Kampung Sungai Baru, serta kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana memberi jaminan bahawa kepentingan orang Melayu akan terus dilindungi.
Ambrin dengan itu menegaskan bahawa hasrat asal Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa untuk menjadikan kawasan berkenaan sebagai penempatan orang Melayu di ibu kota perlu dikekalkan.
“Tanah ini bukan sekadar aset bernilai, tetapi lambang sejarah dan maruah orang Melayu di tengah-tengah Kuala Lumpur,” katanya.




| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








