Semakan PTG dapati Kampung Sungai Baru tidak diwarta sebagai rizab Melayu
KUALA LUMPUR – Kampung Sungai Baru tidak pernah diwartakan sebagai kawasan Penempatan Pertanian Melayu (MAS) atau tanah rizab Melayu, seperti didakwa beberapa pihak sebelum ini.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, semakan di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuala Lumpur tidak menemukan sebarang rekod rasmi mengenai pewartaan tersebut.
Hasil semakan juga mendapati, Kampung Sungai Baru tidak mempunyai sebarang sekatan pemilikan, manakala pegangan pajakan adalah selama 99 tahun.
“Tiada rekod rasmi menunjukkan tanah berkenaan adalah tanah MAS atau rizab Melayu, walaupun ia disebut Ahli Dewan Diraja Selangor yang juga bekas Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Tan Sri Ambrin Buang.
“Namun, saya mohon maaf kerana tidak boleh mengulas panjang isu ini memandangkan ia masih dalam proses pengurusan kes di mahkamah,” katanya pada sesi penerangan Hala Tuju Pembangunan Kampong Bharu di Dewan Rakyat, hari ini.
Dr Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang bagaimanapun berkata, pewartaan asal MAS hanya membabitkan kawasan seluas 89.64 hektar, kemudiannya disahkan semula dengan keluasan hampir 89 hektar melalui ‘Federated Malay States Government’, bertarikh 26 Februari 1932.
“Pengisytiharan kawasan pentadbiran PKB membabitkan keluasan 121.7 hektar, meliputi kawasan MAS seluas 88.99 hektar dan baki 32.7 hektar lagi adalah di luar kawasan MAS, termasuk di Kampung Sungai Baru.
“Kawasan MAS memiliki 802 lot tanah milik dengan majoritinya adalah pegangan tanah selama-lamanya, manakala 415 lot bagi kawasan luar MAS dengan 288 lot pegangan tanah selama-lamanya.
“Sebanyak 127 lot bagi kawasan luar MAS pula pegangan tanah pajakan 99 tahun dengan baki pajakan antara 53 hingga 90 tahun sahaja,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








