AI Malaysia tarik pelaburan RM3.29 bilion, wujudkan 6,920 peluang pekerjaan
KUALA LUMPUR – Sektor kecerdasan buatan (AI) negara terus mencatat perkembangan positif apabila berjaya menarik pelaburan diluluskan berjumlah RM3.29 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, yang berpotensi mewujudkan sebanyak 6,920 peluang pekerjaan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pencapaian itu merupakan antara kemajuan penting yang dicapai Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) dalam separuh pertama tahun 2025 di bawah inisiatif strategik Malaysia Digital (MD).
Menurut beliau, NAIO kini dalam proses memuktamadkan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan bakat, penyediaan data serta infrastruktur, selain menyediakan draf Buku Panduan Kesiapsiagaan Set Data AI bagi menyokong pelaksanaan pelan berkenaan.
“Sebagai usaha memperkukuh peranan Malaysia dalam landskap AI serantau, NAIO dengan kerjasama MyDigital akan menganjurkan Sidang Kemuncak AI ASEAN 2025 pada 12 hingga 13 Ogos ini bertemakan ‘Menerajui Pembangunan AI yang Mampan dan Inklusif di ASEAN’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN) di Dewan Rakyat yang ingin mengetahui kemajuan yang telah dicapai oleh NAIO setakat ini serta sumbangannya terhadap pembangunan AI negara.
Berita penuh : Kementerian Digital anjur siri perbincangan NAIO pacu strategi AI
Gobind berkata, kementeriannya sedang melaksanakan kajian impak AI terhadap sektor awam yang melibatkan 28 kementerian, dan kini berada di fasa akhir bagi merancakkan penggunaan AI secara menyeluruh merentas sektor.
Dalam masa sama, usaha turut dijalankan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk membangunkan platform pertanian pintar yang merangkumi fungsi ramalan bekalan-permintaan serta pengesanan serangan serangga perosak.
“Bagi aspek pembangunan bakat, NAIO bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan TalentCorp menerusi Majlis AI Kebangsaan MyMahir untuk Industri (MyMahir-NAICI) bagi merapatkan jurang kemahiran dan memastikan kesiapsiagaan tenaga kerja negara dalam era AI,” ujanrya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








