BERITA SEMASA

RUU Jenayah Siber dibentang bulan depan, tangani penipuan dalam talian

KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber di Parlimen, bulan depan bagi menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563), susulan peningkatan ketara kes penipuan dalam talian yang mengakibatkan kerugian mencecah lebih RM2.9 bilion tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penggubalan undang-undang baharu itu amat diperlukan bagi menangani jenayah siber yang semakin membarah, dengan kerugian direkodkan meningkat lebih 86 peratus berbanding RM1.574 bilion pada 2024.

Menurut beliau, RUU berkenaan digubal bagi menampung kelompangan undang-undang sedia ada serta memperkasa keupayaan penguatkuasaan dalam melindungi keselamatan siber negara dan hak pengguna di ruang digital.

“RUU Jenayah Siber ini mengambil pendekatan yang lebih holistik dan bersifat terkini dengan merangkumi dua kategori utama iaitu jenayah berbantu siber dan jenayah bersandarkan siber.

“Penggubalan undang-undang ini turut berteraskan prinsip technology-neutral sebagaimana yang diterapkan dalam Konvensyen Budapest dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, penyalahgunaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) seperti deepfake kini menjadi antara modus operandi utama penjenayah siber, sekali gus menimbulkan ancaman serius kepada keselamatan dan kesejahteraan mangsa.

“Dalam konteks konflik hibrid, teknologi deepfake berpotensi digunakan sebagai instrumen peperangan maklumat melalui penyebaran maklumat tidak tepat, salah dan palsu bagi membentuk persepsi serta melemahkan moral pihak tertentu.

“Konflik Rusia-Ukraine membuktikan bahawa deepfake dan penyebaran maklumat palsu sudah menjadi komponen utama peperangan maklumat yang digunakan untuk mempengaruhi sokongan antarabangsa,” katanya lagi.

Pada masa sama, beliau memaklumkan Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854) yang berkuat kuasa pada 26 Ogos 2024 bertujuan memperkukuh ekosistem keselamatan siber negara melalui pelaksanaan fungsi keselamatan secara lebih berkesan.

“Jemaah Menteri pada 14 Januari lalu turut bersetuju dengan penubuhan Pusat Pembangunan Keselamatan Siber dan Kriptologi (CSCDC) bagi memusatkan fungsi keselamatan siber dan kriptologi negara.

“Penubuhan CSCDC akan melengkapkan ekosistem keselamatan siber negara yang bersepadu, berdaya tahan, berdaya saing serta berdaulat,” katanya lagi.

Menurutnya, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri sedang melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk pembangunan garis panduan keselamatan siber AI berasaskan prinsip secure-by-design, keselamatan awan berdaulat dan kesiapsiagaan pasca-kuantum bagi menjamin keselamatan serta kedaulatan digital negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button