BERITA SEMASA

Era AI tuntut komunikasi berteraskan kebenaran – Sultan Perak

KUALA LUMPUR – Dunia kini berdepan cabaran baharu apabila kecerdasan buatan (AI) mengubah cara maklumat dihasilkan, dikongsi dan dipercayai, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda bertitah, meskipun teknologi membuka pelbagai peluang, namun ia turut mencabar keupayaan manusia untuk mengekalkan kebenaran serta nilai kemanusiaan dalam komunikasi.

“Kita harus memastikan inovasi tidak menggantikan empati, dan kepantasan tidak mengatasi kejujuran. Dalam zaman maklumat tersebar lebih cepat daripada kefahaman, kita perlu menghadapi cabaran ini dengan kebijaksanaan serta komitmen terhadap kebenaran dan kedamaian,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Persidangan dan Festival Perhubungan Awam Global Malaysia 2025 (GPRCFMY 2025) di ibu negara hari ini, yang menghimpunkan pakar komunikasi, pelabur serta akademik dari Malaysia, Asia dan antarabangsa.

GPRCFMY 2025 menjadi platform penting dalam mengukuhkan jaringan komunikasi global melalui perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik, di samping mengangkat suara Malaysia dalam landskap perhubungan awam antarabangsa.

Titah baginda lagi, komunikasi yang berasaskan etika, kejujuran dan empati menjadi tunjang kestabilan sesebuah negara serta cerminan kepada keadilan masyarakat.

Baginda bertitah, dalam era digital yang semakin kompleks, tanggungjawab komunikator termasuk pemimpin, ahli media dan pengamal perhubungan awam bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi memastikan kebenaran dan keadilan terus dipelihara.

“Tugas komunikator apabila berada di kerajaan, perniagaan atau media adalah untuk menjaga kebenaran, keadilan dan kejujuran.

“Kata-kata yang bijaksana menimbulkan kepercayaan dan kestabilan, kerana keadilan bahasa menjadi asas kepada kepercayaan rakyat dan kestabilan negara,” titah baginda.

Menekankan pentingnya komunikasi berteraskan nilai manusiawi, baginda bertitah, kekuatan Malaysia terletak pada kepelbagaian etnik dan kepercayaan, justeru komunikasi perlu menjadi jambatan yang menyatukan, bukan memisahkan.

“Kata-kata kita harus menghubung, bukan memisah. Seperti pepatah Melayu, kata-kata itu senjata bangsa,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut menzahirkan penghargaan terhadap kolaborasi yang dijalinkan oleh pengamal perhubungan awam tempatan dengan badan antarabangsa seperti Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM) yang disifatkan sebagai langkah memperkukuh integriti serta ketelusan industri komunikasi di negara ini.

Baginda bertitah, pendekatan inklusif sebegitu bukan sahaja mengangkat profesion perhubungan awam, tetapi turut memperkukuh hubungan antara institusi dan masyarakat ke arah membina kepercayaan serta pemahaman bersama.

Dalam konteks lebih luas, baginda menyentuh peranan Malaysia di pentas global yang kini dilihat sebagai pemimpin pemikiran dalam perbincangan etika, teknologi dan kepercayaan pada era digital.

“Persidangan ini menunjukkan sejauh mana Malaysia telah melangkah, bukan sahaja dalam menguasai alat komunikasi tetapi memahami tujuan sebenar komunikasi iaitu untuk menghubungkan manusia, membina kepercayaan dan memupuk keharmonian,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut mengingatkan bahawa dalam dunia yang dikuasai oleh kecerdasan buatan (AI), kecepatan penyebaran maklumat tidak seharusnya mengatasi nilai empati dan kejujuran.

“Kita harus memastikan inovasi tidak menggantikan empati, dan kepantasan tidak mengatasi kejujuran. Dalam zaman maklumat tersebar lebih cepat daripada kefahaman, kita perlu menghadapi cabaran ini dengan kebijaksanaan serta komitmen terhadap kebenaran dan kedamaian,” titah baginda.

Mengakhiri titah, baginda menzahirkan harapan agar persidangan tiga hari itu menjadi permulaan baharu dalam kisah komunikasi Malaysia, yang terus berteraskan kebenaran, keharmonian dan kebaikan di peringkat dunia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button