BERITA SEMASA

Muat naik kandungan jelik: Shafiq Halim bayar kompaun RM10,000

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima bayaran kompaun sebanyak RM10,000 daripada Mohamad Shafiq Abd Halim yang dikenakan tindakan penguatkuasaan atas kesalahan memuat naik kandungan jelik melampau menyentuh sentimen kaum dan agama.

Menurut MCMC dalam satu kenyataan, kandungan jelik itu dimuat naik melalui aplikasi TikTok pada 31 Mac lalu.

“Tindakan ini diambil hasil siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] serta setelah memperoleh izin pengkompaunan daripada Jabatan Peguam Negara.

“MCMC memandang serius penyalahgunaan platform digital bagi menyebarkan kandungan berunsur perkauman, keagamaan ekstrem atau yang menyentuh institusi negara,” katanya hari ini.

Dalam pada itu MCMC menasihatkan pengguna media sosial agar sentiasa beretika, berhemah dan bertanggungjawab dalam setiap kandungan yang dimuat naik atau dikongsi.

Katanya, MCMC kekal komited untuk memastikan ruang siber negara kekal selamat, terkawal dan kondusif, seiring dengan usaha memperkukuh perpaduan serta keharmonian masyarakat di Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button