Kempen Internet Selamat bentuk generasi bijak hadapi ancaman siber
BIDOR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini melancarkan Kempen Internet Selamat di Sekolah Kebangsaan (SK) Bidor 2, di sini.

MCMC berkata, kempen yang melibatkan lebih 10,000 sekolah itu bertujuan memberikan pendedahan menyeluruh tentang risiko siber serta cara-cara untuk melindungi diri dalam dunia maya.
“Kempen yang dijangka berjalan sepanjang tahun 2025 ini melibatkan penyertaan lebih 10,246 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara, termasuk SK Bidor 2,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, program itu menyasarkan pelajar, guru, ibu bapa serta komuniti sekolah untuk bersama-sama menangani ancaman dalam talian yang semakin berkembang, terutamanya di kalangan golongan muda.
Menurut MCMC, antara fokus utama kempen ini ialah memberi penerangan tentang had umur penggunaan media sosial, di mana kanak-kanak di bawah umur 13 tahun tidak dibenarkan memiliki akaun media sosial.
“Di samping itu, modul ini turut membincangkan ancaman serius seperti buli siber, eksploitasi seksual dalam talian serta penyebaran ucapan kebencian. Tidak ketinggalan, peranan ibu bapa dan penjaga dalam memantau aktiviti anak-anak di internet turut mendapat penekanan,” katanya lagi.
Majlis pelancaran itu turut diwarnai dengan pelantikan Ikon Internet Selamat, wakil pelajar yang akan menjadi duta keselamatan siber di sekolah mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Perak, Mohd Azlan Helmi, turut menyerahkan modul ‘Internet Selamat’ kepada Guru Besar SK Bidor 2, Siti Saripah Undar sebagai simbolik permulaan kempen di peringkat sekolah.
Kerajaan Madani turut menegaskan komitmen mereka dalam memerangi ancaman siber, dengan memastikan internet digunakan secara selamat dan berhemah, sejajar dengan nilai kesejahteraan Malaysia Madani.
Kempen itu dilihat sebagai langkah penting untuk membentuk generasi yang lebih bijak dan bertanggungjawab dalam dunia digital.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC, Bukhari Yahya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








