BERITA SEMASA

50 mahasiswa UMS dipilih sebagai Duta NADI

KOTA KINABALU – Seramai 50 sukarelawan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dipilih sebagai Program Duta Perkhidmatan Pintar Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di negeri ini.

Program itu yang julung-julung kali diperkenalkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dengan kerjasama UMS dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini.

Menurut MCMC dalam satu kenyataan, para sukarelawan akan memainkan peranan penting dalam menyebar luas mesej advokasi MCMC, termasuk Kempen Internet Selamat (KIS), melalui pendekatan akar umbi bersama komuniti dan sekolah berhampiran di kawasan kediaman mereka.

“Sukarelawan yang berjaya melepasi sesi saringan akan mengikuti Bengkel Training of Trainers (TOT) selama dua hari bermula 25 hingga 26 Julai ini di UMS.

“Sepanjang bengkel ini, peserta akan didedahkan dengan asas kesukarelawanan, objektif dan fungsi NADI, modul Perkhidmatan Pintar NADI serta kandungan utama KIS.

“Mereka seterusnya dilantik sebagai Duta NADI, dengan tanggungjawab untuk menyampaikan taklimat kepada komuniti setempat termasuk pelajar sekolah rendah dan menengah, ibu bapa, guru serta usahawan yang terlibat secara langsung dengan pelbagai program di NADI,” katanya hari ini.

Katanya, pendekatan itu membuka ruang yang signifikan untuk menarik penyertaan komuniti daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur untuk lebih mengenali fungsi NADI, sekali gus memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang ditawarkan secara optimum.

Jelasnya, sebanyak 25 buah NADI telah dikenal pasti dan dipadankan dengan kampung halaman 50 orang sukarelawan siswa terpilih, bagi memastikan pendekatan yang lebih bersifat mesra komuniti dan relevan dengan keperluan setempat.

“Sepanjang cuti semester yang bermula 28 Julai hingga ini, para sukarelawan ini akan menggalas tanggungjawab sebagai Duta NADI dalam mempromosikan impak dan peranan pusat ini, khususnya kepada penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman di Sabah,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button