Projek Bandar Pintar Kota Kinabalu libatkan 822 tiang pintar – MCMC
KOTA KINABALU – Sebanyak 822 unit tiang pintar dan tiang pelbagai guna akan dipasang menerusi Projek Bandar Pintar Kota Kinabalu bagi memperkukuh infrastruktur digital serta meningkatkan kecekapan pengurusan bandar raya itu.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), projek berkenaan turut merangkumi pembangunan rangkaian gentian optik, kemudahan Wi-Fi awam serta Pusat Kawalan Operasi Rangkaian (Network Operations Command Centre – NOCC).
Katanya, projek yang dimulakan pada 6 Ogos lalu itu dilaksanakan menerusi kerjasama MCMC dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
“Projek itu dijangka meningkatkan ketersambungan digital, memperkukuh keselamatan awam serta meningkatkan keupayaan pihak berkuasa tempatan menangani cabaran bandar, termasuk pengurusan lalu lintas dan pemantauan persekitaran,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching hari ini meninjau perkembangan awal projek berkenaan yang bertujuan menyokong penyampaian perkhidmatan awam lebih cekap dan responsif terhadap keperluan penduduk.
Menurut MCMC lagi, kemudahan digital yang lebih baik juga dijangka menyokong pertumbuhan perniagaan tempatan serta membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat.
Dari segi pelaksanaan, MCMC berkata, projek itu meliputi pembangunan 50 kilometer rangkaian teras dan 308 kilometer rangkaian sambungan akhir, selain pemasangan 822 unit tiang pintar dan tiang pelbagai guna sebagai komponen utama ekosistem bandar pintar Kota Kinabalu.
“NOCC yang sedang dibangunkan pula akan berfungsi sebagai pusat pemantauan dan penyelarasan pelbagai sistem bandar bagi membantu pihak berkuasa tempatan mengurus operasi serta perkhidmatan bandar dengan lebih cekap dan berkesan,” katanya.
Dalam pada itu, MCMC berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan DBKK dan pihak pelaksana bagi memastikan pembangunan infrastruktur digital, NOCC serta sistem bandar pintar dilaksanakan mengikut perancangan dan disepadukan secara berkesan untuk memenuhi keperluan bandar raya yang semakin berkembang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








