Kempen Internet Selamat perkukuh literasi digital komuniti Sabah
PAPAR – Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus komited memperkasa literasi digital masyarakat dengan menganjurkan Kempen Internet Selamat (KIS) di Sekolah Menenga Kebangsaan St. Mary, Limbahau, di sini, hari ini.
Datuk Fahmi Fadzil berkata, inisiatif tersebut bukan hanya memberi tumpuan kepada aspek capaian internet, malah turut memfokus kepada penggunaan secara beretika dan bertanggungjawab, terutama dalam kalangan generasi muda.
“Kempen ini sejajar dengan kerangka Malaysia MADANI yang mengutamakan pendekatan menyeluruh atau whole-of-nation. Kita mahu semua pihak termasuk sekolah, guru, ibu bapa dan pihak berkuasa tempatan bersama menjayakannya,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian program berkenaan.

Menurut beliau, ruang digital perlu dilihat sebagai medan untuk menyemai nilai-nilai murni, menyebarkan ilmu serta memupuk perpaduan rakyat dan bukannya digunakan secara melulu sehingga mengundang risiko keselamatan.
“KIS turut merangkumi sesi kesedaran berkaitan keselamatan siber, aktiviti interaktif serta latihan kepada guru-guru dalam membentuk sahsiah pelajar ketika berdepan dengan cabaran alam maya,” katanya lagi.
MCMC dalam kenyataannya menyeru masyarakat dari seluruh pelosok negara untuk mengambil bahagian dalam usaha memastikan ruang digital kekal selamat, beretika dan membina.
“Internet bukan sekadar alat komunikasi, ia juga ruang untuk membentuk jati diri masyarakat.
“Kita mahu generasi hari ini dan masa depan mampu menggunakannya secara positif,” menurut kenyataan itu.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC, Bukhari Yahya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








