Pemimpin perlu jadi pencetus perpaduan, bukan perpecahan
KUALA LUMPUR – Pemimpin masyarakat perlu memainkan peranan sebagai pencetus dan pemangkin perpaduan, bukannya mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan perpecahan dalam masyarakat majmuk.
Pensyarah Kanan Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Khairunneezam Mohd Noor berkata, pemimpin memikul amanah besar untuk memastikan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama terus dipelihara melalui kepimpinan yang berteraskan keadilan serta empati.
“Sebagai pemimpin masyarakat majmuk, seseorang itu memikul amanah besar sebagai pencetus dan pemangkin perpaduan, bukannya pencetus perpecahan.
“Dalam realiti kehidupan berbilang kaum dan agama, keharmonian tidak hadir secara kendiri melainkan diterajui oleh kepimpinan yang bertunjangkan keadilan serta sikap empati,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Menurutnya, Islam mengiktiraf kepelbagaian etnik dan budaya sebagai ketentuan Ilahi yang bertujuan membolehkan manusia saling mengenali dan bukannya mencetuskan persengketaan.
Katanya, perkara itu sebagaimana ditegaskan Allah SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat 13 yang menyatakan manusia diciptakan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku untuk saling mengenali.
“Justeru, pemimpin yang bijaksana wajib menjadikan nilai perpaduan ini sebagai paksi utama dalam mentadbir komuniti,” katanya.
Dr Khairunneezam berkata, keharmonian masyarakat juga dapat dipupuk menerusi kepimpinan inklusif yang sentiasa memelihara hak setiap warga tanpa diskriminasi.
“Keadilan mestilah ditegakkan secara saksama, khususnya dalam aspek sosial, pengagihan kebajikan dan perlindungan dari perspektif undang-undang,” katanya.
Beliau berkata, prinsip berkenaan selari dengan Surah al-Ma’idah, ayat 8 yang menuntut umat manusia berlaku adil dan tidak dipengaruhi sentimen kebencian terhadap mana-mana kaum.
“Islam turut menggesa umatnya menjalin hubungan baik dan bersikap saksama terhadap sesiapa sahaja yang hidup secara berdamai, sebagaimana yang dituntut dalam Surah al-Mumtahanah, ayat 8.
“Pemimpin yang menggalakkan interaksi positif dan sentiasa peka terhadap sensitiviti budaya berupaya merobohkan tembok prasangka,” katanya.
Tegas beliau, kepimpinan yang menyatupadukan masyarakat merupakan antara asas penting kepada kestabilan dan kemakmuran negara.
“Apabila pemimpin mengutamakan nilai keadilan, kasih sayang, dan saling menghormati berbanding kepentingan kelompok dan fahaman politik, jurang perpecahan dapat dirapatkan demi membina sebuah masyarakat yang sejahtera, harmonis serta sentiasa dirahmati,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








