BERITA SEMASA

MADANI Berkhidmat: 172 sukarelawan siswa rapatkan jurang budaya di Sarawak

KANOWIT – Seramai 172 orang sukarelawan siswa telah mengambil bahagian dalam MADANI Berkhidmat: Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN ke Sarawak 2025.

Misi ini selaras dengan Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia, yang fokus kepada kerjasama kesukarelawanan dan pembangunan belia serantau.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, 172 siswa yang terlibat itu termasuk lapan siswa dari Vietnam dan dua siswa dari Singapura.

MADANI Berkhidmat: 172 sukarelawan siswa rapatkan jurang budaya di Sarawak

“Tujuan utama Kementerian Perpaduan Negara melaksanakan misi ini melalui Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) adalah untuk membina jambatan antara komuniti.

“Program ini mempertemukan anak muda dari Semenanjung, Sabah, dan Sarawak untuk berkongsi pengalaman, menimba kefahaman budaya, serta menanam semangat kebersamaan,” katanya semasa Majlis Penutup Malam Ini Warisan Kita MADANI Berkhidmat: Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN Ke Sarawak 2025, semalam.

MADANI Berkhidmat: 172 sukarelawan siswa rapatkan jurang budaya di Sarawak
Menteri Perpaduan di Majlis penutupan program

Aaron turut berkata, harapan baharu untuk Malaysia yang lebih inklusif, matang dan berperikemanusiaan terletak di tangan generasi muda.

“Perpaduan sejati tidak akan terjamin hanya dengan dasar atau kempen kerajaan; ia akan subur apabila rakyat, khususnya anak muda, memilih untuk memahami, menghormati, menerima dan meraikan perbezaan.

Oleh itu, teruslah menjadi ejen perubahan dan penyatu masyarakat.” katanya lagi.

Menurutnya, siswa yang terpilih telah melaksanakan pelbagai projek komuniti, termasuk mengindahkan kawasan kampung, dapur komuniti, kem kepimpinan dan program saringan kesihatan.

Beliau turut menggesa belia agar menjadikan nilai kasih sayang, hormat, dan tanggungjawab sosial sebagai teras dalam setiap tindakan, kerana itulah karakter sebenar Belia Malaysia MADANI.

Misi yang mengangkat tema “Perpaduan Melalui Kesukarelawanan” itu adalah komitmen kementerian bahawa pembinaan Negara Bangsa turut digerakkan melalui penyertaan aktif golongan belia dalam kerja khidmat masyarakat.

Sehingga Oktober 2025, YSS telah melaksanakan 86 Misi Sukarelawan dan melahirkan seramai 2,284 orang alumni, termasuk 273 alumni dari negara ASEAN dan China.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button