BERITA SEMASA

Penerima biasiswa Yayasan LTAT dilantik sukarelawan, kembali menyumbang kepada masyarakat

KUALA LUMPUR – Sembilan penerima Biasiswa YLTAT-IIUM UMMATIC bukan sahaja menerima manfaat pendidikan, malah diberi peluang menyumbang kembali kepada masyarakat menerusi pelantikan sebagai Sukarelawan Yayasan LTAT.

Pelantikan itu dibuat dalam sesi suai kenal penerima biasiswa bersama Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin yang berlangsung semalam dalam suasana yang membuka ruang kepada perkongsian, interaksi dan pembinaan hubungan yang lebih erat.

“Sesi ini menghimpunkan empat pelajar tahun empat dan lima pelajar tahun tiga yang menerima biasiswa bagi tahun 2024 dan 2025.

“Selain saling mengenali, para penerima turut berpeluang bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman bersama pihak yang terlibat dalam pelaksanaan biasiswa,” kata Yayasan LTAT menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Yayasan LTAT, pelantikan sebagai sukarelawan membuka ruang kepada penerima untuk terlibat secara aktif dalam pelbagai program dan inisiatif yang dilaksanakan yayasan.

Inisiatif itu turut menjadi sebahagian daripada usaha memupuk kesedaran dalam kalangan penerima supaya memanfaatkan peluang pendidikan yang diterima, selain membina semangat untuk memberi kembali kepada komuniti.

“Pertemuan ini bukan sekadar mengeratkan hubungan, malah menjadi ruang untuk menyuntik motivasi kepada para penerima agar terus berusaha mencapai kecemerlangan dan memanfaatkan peluang pendidikan yang diterima sebaik mungkin.

“Yayasan LTAT berharap hubungan yang dibina melalui sesi seperti ini dapat terus memperkukuh keyakinan, membina nilai kepimpinan serta menyemai semangat untuk memberi kembali kepada masyarakat,” katanya.

Turut hadir, Pengarah IIUM Endowment Fund, Mir Azrul Shaharudin dan PS1 Pendidikan Am (Cawangan Khidmat Pendidikan), Lt Kol Sahudin Semail.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button