BERITA SEMASA

100 sukarelawan jayakan Program Discover Kinabenuwa: Heart of Mangrove

LABUAN – Seramai 100 sukarelawan berganding tenaga menjayakan Program Discover Kinabenuwa: Heart of Mangrove di Taman Ekologi Paya Bakau Kinabenuwa, semalam.

Program anjuran Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Perbadanan Labuan (PL) dengan kerjasama Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemuliharaan ekosistem paya bakau.

Menurut kenyataan JWP, para sukarelawan terdiri daripada komuniti Wilayah Persekutuan Labuan, pelajar sekolah serta pasukan CSR JWP, PL dan YSS.

“Mereka bersama-sama menanam sebanyak 200 anak pokok bakau spesies Bakau Minyak (Rhizophora apiculata) dan Bakau Kurap (Rhizophora mucronata) di sekitar Taman Ekologi Paya Bakau Kinabenuwa.

“Penanaman ini bukan sahaja membantu melindungi kawasan pesisir daripada hakisan dan hentaman ombak, tetapi juga memulihkan ekosistem semula jadi yang penting untuk kelestarian alam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain aktiviti penanaman pokok, turut dijalankan aktiviti pembersihan sampah dan sisa terapung di kawasan paya bagi memastikan habitat flora dan fauna kekal bersih serta kondusif.

Kinabenuwa yang merupakan kawasan paya bakau terbesar di Pulau Labuan seluas 374.21 hektar, menempatkan 47 spesies flora daripada 23 famili termasuk beberapa spesies terancam seperti Merbau Ipil (Intsia bijuga), Gedabu Hibrid (Sonneratia x hainanensis) dan Gedabu (Sonneratia ovata).

Kawasan ini juga mempunyai spesies endemik Borneo iaitu Gelam Laut (Osbornia octadonta), yang menambah nilai saintifik dan ekologi di Kinabenuwa.

Kinabenuwa turut menjadi habitat penting kepada pelbagai hidupan liar termasuk mamalia, reptilia, ikan, krustasia, moluska serta 12 spesies burung, antaranya Burung Pependang Timur (Anhinga melanogaster) yang kini berstatus hampir terancam.

Pada 11 Julai 2023, kawasan ini telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kinabenuwa, manakala pada 5 Mac 2024, ia diiktiraf sebagai hab ekopelancongan baharu Pulau Labuan.

“Selain berfungsi sebagai kawasan konservasi, Kinabenuwa juga dikenal pasti sebagai habitat pembiakan kelip-kelip di sepanjang Sungai Kinta Benuwa yang mampu menjadi tarikan pelancongan eko baharu bagi Labuan,” jelas kenyataan itu lagi.

Program tersebut turut menyokong aspirasi Wilayah Persekutuan Labuan ke arah wilayah hijau dan lestari, di mana pembangunan dijalankan selaras dengan pemuliharaan alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat setempat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button