BERITA SEMASA

Paru-paru bocor didakwa dipukul tentera Israel, Razman masih dirawat di Turkiye

SEPANG – Delegasi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, Razman Mat Ali dilaporkan mengalami kecederaan serius termasuk paru-paru kiri bocor selepas didakwa diserang secara fizikal oleh tentera rejim Israel ketika menyertai misi kemanusiaan ke Gaza.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, Razman kini masih menerima rawatan di Istanbul, Turkiye selepas menjalani pembedahan dan berada dalam keadaan stabil.

Menurut beliau, doktor tidak membenarkan Razman pulang ke Malaysia buat masa ini kerana bimbang tekanan udara ketika penerbangan boleh menjejaskan lagi tahap kesihatannya.

“Razman mengalami kecederaan serius iaitu traumatic pneumothorax apabila paru-paru kirinya bocor akibat didakwa diserang secara sengaja oleh tentera rejim ketika diculik secara haram di perairan antarabangsa.

“Beliau kini masih berada di Istanbul dan telah selesai menjalani pembedahan. Keadaannya stabil dan dijangka dibenarkan pulang ke Malaysia dalam tempoh 21 hari,” katanya ketika menyambut kepulangan 28 delegasi GSF 2.0 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Sani Araby berkata, beliau sempat melawat Razman di hospital namun tahap kesihatannya ketika itu masih berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan susulan pembedahan yang dijalani.

Katanya, pasukan peguam daripada Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) turut dihantar bagi mendapatkan rakaman serta bukti kecederaan dialami aktivis terbabit.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya sangat kagum dengan kekuatan beliau. Jika disebut mengenai semangat ‘sumud’, beliau masih sangat kuat walaupun melalui pengalaman sukar,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau mendakwa hampir semua delegasi flotila berkenaan menerima layanan kasar dan penderaan fizikal sepanjang ditahan pihak Israel.

“Apa yang berlaku kepada Kapten Razman bukan kes terpencil. Semua yang berada dalam flotila itu menerima penderaan fizikal yang sama, namun beliau mengalami kecederaan paling serius,” katanya lagi.

Terdahulu, Razman merupakan antara 29 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF 2.0 bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza sebelum kapal dinaiki mereka dipintas pihak Israel di perairan antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button