BERITA SEMASA

Sumud Nusantara: Kapal rosak teruk, Heliza Helmi, Hazwani dan Ardell terpaksa pulang ke tanah air

PUTRAJAYA – Tiga delegasi rakyat Malaysia yang terlibat dengan pelayaran Global Sumud Flotila (GSF) tidak berpeluang meneruskan misi atas faktor kapal yang dinaiki mereka mengalami kerosakan teruk.

Delegasi berkenaan iaitu Nur Heliza Helmi, Nur Hazwani Afiqah Helmi dan Nurul Hidayah Mohd Amin dilaporkan telah selamat tiba di tanah air pada Selasa dan akan bertugas di Sumud Nusantara Command Center (SNCC) di Sepang.

SNCC dalam satu kenyataan berkata, satu penyesuaian tugasan telah dibuat melibatkan tiga orang delegasi Malaysia berikutan beberapa kapal yang telah mengalami kerosakan teruk.

“Mereka akan memulakan tugas rasmi di pangkalan SNCC Sepang yang kini turut berfungsi sebagai Pangkalan Operasi Serantau melibatkan penyelarasan strategik dari tujuh buah negara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, SNCC turut mengesahkan bahawa misi GSF kini telah memulakan pelayaran keluar dari Pelabuhan Catania, Itali untuk meneruskan misi kemanusiaan ke destinasi seterusnya.

“Misi ini menyaksikan penggabungan strategik di antara kumpulan flotila dari Barcelona sebanyak 40 buah kapal dengan kumpulan Itali, menjadikan jumlah keseluruhan armada kini mencecah 56 buah kapal.

“Terdapat beberapa buah kapal yang kini sedang menjalani proses teknikal dan pembaikan di Pelabuhan Catania.

“Kapal-kapal berkenaan akan menyusul dan menyertai semula armada utama sebaik sahaja proses pembaikan disempurnakan,”
jelasnya.

Kata SNCC, sejumlah 36 orang rakyat Malaysia yang terdiri daripada boat engineer, kapten, pasukan perubatan, kru kapal serta penganjur dan peserta kini berada dalam keadaan sihat dan bersemangat tinggi.

“Pihak urus setia sentiasa memantau tahap keselamatan dan kebajikan semua kru bagi memastikan kelancaran operasi di perairan antarabangsa,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button