BERITA SEMASA

Kerajaan pantau rapi keselamatan delegasi misi Global Sumud Flotilla 2.0

BARCELONA – Kerajaan memberi jaminan akan terus memantau secara rapat perkembangan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 bagi memastikan keselamatan semua delegasi negara yang terlibat sepanjang pelayaran di zon berisiko menuju ke Gaza.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga ketua delegasi Malaysia, menzahirkan komitmen tersebut ketika berucap melalui pembesar suara dari atas kapal kepada para aktivis yang telah memulakan pelayaran di Laut Mediterranean.

Beliau turut memuji kecekalan dan keberanian delegasi negara yang sanggup berdepan risiko demi menjayakan misi kemanusiaan itu.

“Kita akan memantau keadaan dari semasa ke semasa bagi memastikan kelancaran serta keselamatan semua delegasi yang bersama dalam misi ini,” katanya ketika mendekati peserta bagi menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kerajaan dan rakyat Malaysia.

Amirudin yang diiringi sekumpulan peguam daripada Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) turut memberikan kata-kata semangat kepada aktivis Malaysia serta mendoakan agar pelayaran tersebut berjalan lancar tanpa sebarang gangguan sehingga mencapai matlamat utamanya.

“Saya ucapkan salam tahniah khusus daripada rakyat Malaysia atas pengorbanan yang telah diberikan.

“Kita doakan perjalanan yang baru bermula ini akan berjalan lancar sehingga misi Sumud Flotilla 2.0 berjaya direalisasikan. Doa rakyat Malaysia sentiasa bersama anda semua,” katanya memetik laporan Harian Metro.

BACA JUGA:

Malaysia negara pertama iktiraf Sumud Flotilla Nusantara sebagai misi nasional 

SUMUD 2.0: Amirudin ketuai misi khas Malaysia ke Gaza, bawa 374 tan bantuan kemanusiaan

GSF 2.0 memulakan pelayaran dari Pelabuhan Barcelona menuju ke Gaza semalam dengan ribuan penyokong dari pelbagai negara berhimpun di Moll de la Fusta bagi mengiringi pelepasan misi berkenaan.

Misi itu bertujuan memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza serta menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Kali ini, penyertaan dalam misi itu melibatkan lebih 80 kapal dan kira-kira 1,000 peserta dari seluruh dunia, menggabungkan usaha maritim dengan gerakan mobilisasi global di darat termasuk advokasi undang-undang serta kempen solidariti di pelbagai negara.

Turut menyertai misi berkenaan ialah dua petugas Bernama iaitu wartawan Ahmad Aidil Syukri Hamzah dan jurugambar Zulfadhli Zulkifli.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button