BERITA SEMASA

Wartawan video bebas dipilih peserta pertama misi Sumud dari Malaysia

KUALA LUMPUR – Wartawan video bebas dan penulis geopolitik, Ahmad Faezal diumumkan sebagai peserta pertama dari Malaysia bagi menyertai misi pelayaran antarabangsa, Sumud yang dijadual dilancarkan pada 29 Mac ini merentasi Laut Mediterranean.

Menurut Ahmad Faezal, pengumuman itu dibuat oleh Ketua Sumud Nusantara, Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

“Rezeki Allah SWT ini adalah suatu amanah yang sangat besar kerana peserta pertama Sumud dari Malaysia adalah saya.

“Di depan Laut Mediterranean ini, saya nak maklumkan I’ve already accepted.

“Dari tahun lalu lagi, saya telah pun banyak berdoa agar impian ini menjadi kenyataan dan sekarang ia telah tertunai,” kongsi beliau menerusi hantaran video di media sosial.

Menurut Ahmad Faezal, misi Sumud dijangka dilancarkan dari beberapa pelabuhan terpilih dan akan menyusuri perairan Laut Mediterranean bermula 29 Mac depan.

Mengulas tanggapan sesetengah pihak bahawa bantuan ke Gaza lebih wajar disalurkan melalui pintu Rafah, beliau menjelaskan bahawa misi Sumud bukan sekadar tertumpu kepada penghantaran makanan semata-mata.

“Ikut pengetahuan sayalah, penghantaran melalui pintu Rafah itu sebenarnya makan masa yang sangat lama. Sangat-sangat lama. Paling cepat pun sebulan atau pun ikutlah tempoh mana pun.

“Tetapi sebenarnya daripada awal tu, Sumud bukan sekadar misi hantar makanan dan ini bukan suatu rahsia pun seperti dinyatakan di laman web mereka,” jelasnya.

sumud flotilla
Misi Sumud 2.0 akan memulakan pelayaran ke Gaza pada 29 Mac depan. – GAMBAR HIASAN

Pada masa sama , Ahmad Faezal menegaskan bahawa konflik tidak hanya tertumpu di Gaza, sebaliknya kadar keganasan di Tebing Barat juga dilaporkan semakin meningkat dan meluas.

Beliau merujuk laporan mengenai cadangan peluasan penempatan serta risiko terhadap beberapa lokasi penting dan bersejarah termasuk Masjid Ibrahimi dan Masjid Bilal bin Rabah.

“Isu penjajahan ini belum selesai walaupun ada gencatan senjata. Setiap bangsa berhak hidup dalam keadaan bermaruah,” tegasnya.

Beliau memaklumkan masih perlu menjalani beberapa proses latihan sebelum tarikh pelayaran dan berharap segala urusan dipermudahkan.

“Insya-Allah, jika diizinkan, saya akan berlayar pada 29 Mac ini. Saya akan membawa suara rakyat Malaysia merentasi Mediterranean demi saudara kita di Gaza,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button