BERITA SEMASA

Semua sekolah diminta tingkatkan kawalan keselamatan

KUALA NERUS – Pihak sekolah diminta mengetatkan kawalan keselamatan bagi memastikan kakitangannya termasuk murid tidak terdedah kepada sebarang ancaman terutama daripada individu yang datang dari luar kawasan sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tindakan ini susulan kes melibatkan dua wanita termasuk guru besar sebuah sekolah yang cedera selepas ditikam seorang lelaki bersenjatakan pisau ‘rambo’, semalam.

Menurutnya, setiap sekolah perlu dipastikan selamat bagi mengelak kejadian sama daripada berulang.

“Penyediaan kawalan keselamatan adalah tanggungjawab kita di mana pengawal dan pentadbir sekolah harus tingkatkan kawalan keselamatan bagi mengelak insiden tidak diingini.

“Setiap sekolah kita mesti selamat, sebab itu komitmen kita tinggi bagi memastikan semua yang berada dalam kawasan tersebut selamat,” katanya, hari ini.

Fadhlina berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kempori Pengakap MADANI Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 dekat sini.

Ditanya mengenai status kes tersebut, jelas beliau, ia diserahkan kepada pihak berkuasa dan perkembangan lanjut akan maklumkan daripada masa ke masa.

“Kita di pihak kementerian mengikuti rapat kes ini dan kita harap semua pihak dapat memberi ruang terhadap siasatan yang sedang dijalankan,” katanya lagi.

Semalam, dua wanita termasuk guru besar sekolah cedera dipercayai ditikam seorang lelaki sekitar jam 1.45 tengah hari di Sekolah Agama Insaniah, Kelana Jaya, di Petaling Jaya, Selangor.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button