PRN Sabah: 10,000 anggota polis digerakkan bagi pastikan kelancaran dan keselamatan
TAWAU – Seramai 10,000 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah akan digerakkan di seluruh negeri sepanjang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sekiranya diperlukan, kekuatan tambahan dari IPK Sarawak akan turut digerakkan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang pilihanraya tersebut.
Tambahnya, arahan pembekuan cuti juga sudah dikeluarkan bagi memastikan keutamaan diberikan kepada penugasan sepanjang tempoh pilihan raya yang dijadual bermula dengan penamaan calon pada 15 November dan hari pengundian pada 29 November ini.
“Arahan untuk membekukan semua cuti sudah dikeluarkan, kecuali cuti tertentu yang dibenarkan dan akan disemak mengikut keperluan semasa.
“Untuk seluruh negeri Sabah, kita mempunyai kekuatan 10,000 anggota dan sekiranya ada keperluan tambahan, kita akan bawa dari Sarawak,” katanya ketika ditemui pada Program KDN MADANI: Inspirasi Malaysia di Dewan Terbuka Pekan Merotai Besar, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr Awang Alik Jeman dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab.
Saifuddin berkata, segala latihan dan simulasi berkaitan termasuk kawalan perjalanan peti undi di kawasan pedalaman sudah dilaksanakan bagi memastikan kesiapsiagaan maksimum pasukan keselamatan.
“Latihan dan simulasi turut dijalankan terutama membabitkan kawasan pedalaman bagi memastikan tiada kelewatan atau gangguan terhadap proses pilihan raya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







