Sejarah akan rakamkan Muktamar Pas sebagai kemuncak politik kebencian – Saifuddin
KUALA LUMPUR – Sejarah akan merakamkan Muktamar Tahunan ke-70 Pas sebagai kemuncak politik kebencian yang membiakkan budaya fitnah, mencerca dan memaki hamun dalam Pas di bawah kepimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang, kata Saifuddin Nasution Ismail.
Dakwa Menteri Dalam Negeri itu, sejak 40 tahun lalu, identiti Hadi Awang sudah sinonim dengan politik kebencian dan menyemarakkan fenomena takfir di negara ini.
“Lidahnya tidak letih mencaci-cerca saingannya dan sangat liberal menggunakan label kafir, nifaq, agen Barat, Freemason dan lain-lain lagi terhadap mereka yang tidak disukainya.
“Akhlak dan gelagatnya lebih hampir kepada Abdul Rahman ibn Muljam dan menyimpangi daripada tauladan Rasulullah S.A.W,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujar Saifuddin dalam kenyataan itu lagi, adalah penting untuk rakyat Malaysia memahami sejarah dan konteks dengan tepat sebelum membuat perbandingan atau tuduhan.
Beliau berkata, pernyataan yang dibuat oleh Presiden Pas itu perlu ditinjau semula berdasarkan beberapa fakta penting.
“Fakta sejarah menunjukkan Madinah diperintah oleh Nabi Muhammad SAW dan para pengikut beliau yang beriman dan bukan golongan munafiqun.
“Oleh itu, perbandingan antara kerajaan perpaduan hari ini dengan golongan munafiqun di Madinah adalah tidak tepat dan mengelirukan,” katanya.
Saifuddin berkata, dari sudut agama, adalah tidak wajar untuk menuduh sesiapa sebagai munafik kerana keimanan seseorang hanya diketahui Allah SWT dan sebagai manusia kita tidak mempunyai hak atau kemampuan untuk menilai keimanan orang lain.
Saifuddin juga mengingatkan bahawa semasa Pas dalam kerajaan persekutuan (2020- 2022), tiada usaha untuk mengharamkan arak dan perjudian, menunjukkan isu ini lebih kompleks.
“30 bulan lebih Pas menyertai kerajaan PN membuktikan di sebalik retorik-retoriknya, Pas sebenarnya lompong dan ketandusan idea dalam memimpin dan membangunkan negara.
“Kegagalan ini jelas apabila rakyat sendiri terpaksa memulakan Kempen Bendera Putih untuk membantu sesama sendiri,” ujarnya.
Dakwa Saifuddin lagi, walaupun kini Pas memerintah empat negeri dengan sebahagiannya majoriti penuh, tindakan serupa masih belum diambil.
“Ini membuktikan bahawa pelaksanaan dasar memerlukan pertimbangan lebih luas dan Pas kekurangan idea dalam memimpin negara.
“Ini juga menunjukkan bahawa pelaksanaan dasar-dasar tersebut bukan sekadar isu kekuasaan politik, tetapi melibatkan pertimbangan yang lebih luas.
“Cacian, kebencian dan angan-angan inilah yang dihidangkan pemimpin-pemimpin PAS dalam ucapan-ucapan dan resolusi-resolusi mereka pada Muktamar Pas ke-70,” dakwanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








