BERITA SEMASA

Tugas SUK, Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan digantung

SEREMBAN – Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan memutuskan secara sebulat suara untuk menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, notis penggantungan tugas Mohd Zafir akan dimaklumkan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menurutnya, notis penggantungan tugas Penasihat Undang-Undang Negeri pula akan dimaklumkan kepada Jabatan Peguam Negara.

“Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Masri Razali dinamakan untuk menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri sehingga Setiausaha Kerajaan Negeri baharu dinamakan oleh Ketua Setiausaha Negara.

“Manakala tugas memberikan nasihat perundangan akan dilaksanakan oleh seorang peguam bela dan peguam cara, Fahmi Adilah sehingga Penasihat Undang-Undang baharu dinamakan oleh Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail mengesahkan semua jawatan Ahli MMKN masih kekal dan sah.

Beliau berkata, pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan akan terus berjalan seperti biasa, manakala amanah kepada rakyat akan terus dilaksanakan sebaik mungkin.

Perkembangan itu berlaku susulan isu berkaitan proklamasi bertarikh 19 April lalu yang didakwa membabitkan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Pada 17 September lalu, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sembilan memaklumkan tidak akan mengambil sebarang tindakan pewartaan atau pelaksanaan terhadap proklamasi berkenaan.

Ia susulan kenyataan Ismail sebelum ini yang mengarahkan supaya proklamasi tersebut diwartakan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button