POLITIK

Ismail perlu jelaskan dakwaan dipaksa tandatangani dokumen pemecatan Tuanku Muhriz – AMK

SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim digesa menjelaskan pihak yang didakwa memberi tekanan kepadanya sehingga memaksanya menandatangani dokumen proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan, Mohamad Hamizan Mohd Bahtiar berkata, pihaknya memandang serius dakwaan berkenaan dan sekiranya benar wujud tekanan terhadap Menteri Besar, perkara itu perlu dijelaskan secara terbuka supaya rakyat mengetahui perkara sebenar.

“Sekiranya benar Menteri Besar telah ditekan untuk menandatangani dokumen tersebut, maka persoalan yang paling wajar dijawab ialah siapakah yang menekan atau memaksa beliau dan apakah bentuk tekanan yang dikenakan?

“Mengapa beliau ditekan dan dalam keadaan bagaimana dokumen tersebut ditandatangani,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca juga : Ismail Lasim sahkan tandatangani Surat Cara Proklamasi namun dibuat secara paksaan

Menurutnya, perkara terbabit bukan persoalan kecil kerana ia menyentuh integriti proses pentadbiran serta kebebasan seorang Menteri Besar dalam membuat keputusan.

Ujarnya, AMK Negeri Sembilan juga tidak berminat membuat sebarang kesimpulan berdasarkan dakwaan semata-mata.

“Kenyataan mengenai sokongan dan taat setia kepada Tuanku Muhriz yang dinyatakan Menteri Besar sebelum ini tidak dengan sendirinya menjawab persoalan pokok yang dibangkitkan.

“Persoalannya bukan soal taat setia, tetapi siapa yang menekan Menteri Besar untuk menandatangani dokumen tersebut. Rakyat berhak mendapat penjelasan yang jelas dan terus,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button