Matrikulasi tidak wajar dimansuh, hanya perlu ditambah baik – AMK
KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menolak cadangan pemansuhan sistem matrikulasi sedia ada, sebaliknya menegaskan ia hanya perlu diperkasa dan ditambah baik mengikut keperluan semasa.
Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, sistem berkenaan wajar dikekalkan kerana mempunyai fungsi tersendiri sebagaimana Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
“Bagi pandangan saya, mahupun AMK, sistem yang ada hari ini tidak ada masalah. STPM ada fungsinya, matrikulasi juga ada peranan dan tanggungjawab tersendiri.
“Kalau ada penambahbaikan yang perlu dibuat, ia boleh dilakukan mengikut keperluan semasa, tetapi pada masa ini saya tidak fikir matrikulasi wajar dimansuhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Kita Anak Malaysia (KAMI) 2025 di pusat beli-belah Mydin Meru Raya di Ipoh semalam.
Menurut Muhammad Kamil, kerajaan diyakini bersikap terbuka terhadap setiap cadangan penambahbaikan sistem pendidikan negara dan percaya perkara itu akan diperhalusi oleh Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pendidikan Tinggi.
“Cadangan (pemansuhan) itu daripada sebahagian pelajar dan pertubuhan mahasiswa. Saya fikir tidak ada masalah untuk mana-mana pihak memberikan cadangan.
“Cuma bagi saya, apa yang ada ini, kita perlu teruskan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








