UMANY mohon maaf cadangan mansuh matrikulasi disalah erti
KUALA LUMPUR – Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) memohon maaf berhubung cadangan memansuhkan program matrikulasi yang menimbulkan kekeliruan serta reaksi pelbagai pihak.
Presidennya, Tang Yi Ze berkata, cadangan itu sebenarnya bukan untuk menutup program berkenaan sepenuhnya, sebaliknya mencadangkan supaya ia digabungkan dengan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi mewujudkan sistem penilaian bersepadu.
“Kami kesal dengan salah faham yang timbul akibat penggunaan istilah ‘mansuh’. Cadangan kami adalah untuk menggabungkan matrikulasi dengan STPM supaya wujud peperiksaan berasaskan sukatan pelajaran STPM yang diiktiraf secara meluas.
“Tiada niat untuk menjadikan isu ini berkaitan perkauman. Sebaliknya ia adalah usaha mencari sistem yang lebih telus dan adil kepada semua pelajar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas UMANY menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) semalam bagi menggesa kerajaan menilai semula dasar pengambilan pelajar ke universiti awam.
Cadangan itu dikemukakan susulan kes lepasan STPM, Edward Wong, yang memperoleh CGPA 4.0 namun tidak mendapat tempat dalam enam universiti meskipun bercita-cita menjadi akauntan.
Menurut Yi Ze, kes seumpama itu menimbulkan persoalan mengenai meritokrasi dan keadilan dalam sistem sedia ada, malah menawarkan pengambilan terus dilihat tidak praktikal kerana kosnya jauh lebih tinggi.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sistem baharu yang dicadangkan tetap akan memberi ruang kepada golongan kurang berkemampuan.
“Kerajaan boleh menetapkan kuota tertentu untuk pelajar B40 dan golongan memerlukan, manakala pelajar cemerlang dapat bersaing secara adil melalui peperiksaan bersepadu,” katanya lagi.
UMANY turut memetik kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang sebelum ini menyatakan KPT bersedia menilai cadangan itu dengan lebih mendalam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








