BERITA SEMASA

Onn Hafiz dedah Istana Johor nasihat mohon maaf kepada Zahid

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mendedahkan beliau menerima nasihat daripada institusi diraja Johor supaya memohon maaf kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi susulan kenyataannya yang pernah menggesa pemimpin itu berundur selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut beliau, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tunku Ismail Sultan Ibrahim secara peribadi menasihatinya bahawa kenyataan tersebut dianggap keterlaluan dan langkah terbaik adalah memperbetulkan keadaan demi kestabilan pentadbiran negeri.

“Mereka beritahu saya tidak mengapa untuk memohon maaf dan pergi berjumpa presiden saya. Kita ada sebuah negeri untuk ditadbir,” katanya dalam episod ke-200 podcast Keluar Sekejap.

Onn Hafiz berkata, beliau kemudian bertemu Ahmad Zahid dan memohon maaf tanpa sebarang syarat.

“Saya memohon maaf sekiranya kenyataan saya menyinggung perasaan beliau. Alhamdulillah, saya rasa beliau telah memaafkan saya.

“Dari segi hubungan parti dan urusan pentadbiran, perkara itu kini dianggap selesai,” katanya dalam episod ke-200 podcast politik Keluar Sekejap.

Pengakuan terbuka itu dibuat selepas hos bersama podcast berkenaan, Shahril Hamdan membangkitkan bahawa Onn Hafiz merupakan pemimpin UMNO pertama yang secara terbuka menggesa Ahmad Zahid meletakkan jawatan selepas PRU15, namun tidak dikenakan tindakan disiplin parti.

Shahril yang digantung keahlian kerana kenyataan serupa berkata: “Awak yang pertama menyatakannya. Saya hanya yang kedua, tetapi saya pula yang digantung.”

Mengulas perkara itu, Onn Hafiz berkata beliau ketika itu menerima nasihat daripada Istana Johor selain banyak berdoa sebelum mengambil keputusan untuk bertemu Ahmad Zahid.

BN hanya memenangi 30 kerusi Parlimen pada PRU15, sekali gus mencetuskan tekanan dalaman supaya Ahmad Zahid mencontohi Najib Razak yang melepaskan jawatan sebagai Pengerusi BN selepas kekalahan gabungan itu pada PRU14.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button