BERITA SEMASA

Hubungan saya dengan Zahid baik, dakwaan KJ pandangan peribadi – Anwar

AYER KEROH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan hubungan beliau dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semakin retak susulan perkembangan politik semasa.

Anwar berkata, hubungan beliau dengan Ahmad Zahid kekal baik dan dakwaan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengenai perkara itu hanyalah pandangan peribadi.

“Pandangan peribadilah, memang dia (Khairy) selalu lihat dari segi cara gaduh. Saya lihat cara damai. Dia berbeza, dia jalur gaduh, saya jalur damai.

“Sebab tadi saya ucap terima kasih dalam ucapan saya mengenai peranan Datuk Seri Zahid, UMNO dan seluruh (komponen parti) BN dalam memeterai (pembentukan) Kerajaan Perpaduan pada peringkat awal,” katanya berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Terdahulu, Khairy dilaporkan mendakwa tahap kepercayaan antara Anwar dan Ahmad Zahid berada pada tahap paling rendah sejak Kerajaan Perpaduan dibentuk pada 2022.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berpandangan keadaan berkenaan susulan hubungan antara BN dan PH yang semakin mencabar, khususnya selepas BN bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurut Khairy, kerjasama BN dan PN mencetuskan keretakan besar antara BN diterajui Ahmad Zahid dan PH pimpinan Anwar, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana BN akan terus mempertahankan Kerajaan Perpaduan.

PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu menyaksikan BN yang membentuk persefahaman dengan PN berjaya memenangi 25 kerusi, manakala PH memperoleh 11 kerusi.

Mengulas mengenai perkembangan politik di negeri berkenaan, Anwar mengakui terdapat sedikit perbezaan pendirian di peringkat negeri.

“Ada gaduh? Peringkat negeri ada sikit, itu biasa pak,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Anwar menafikan menerima surat daripada enam Cabang PKR di Negeri Sembilan yang didakwa mahu Pengerusi PH merangkap Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun berundur.

“Tak ada (terima surat), surat biasa. Belum (terima), tapi saya dimaklumkan tak ada (desakan supaya Aminuddin berundur). Tak ada masalah, kita boleh bincang,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button