Kerajaan digesa kenakan hukuman lebih berat terhadap pemandu dibawah pengaruh alkohol, dadah
Termasuk larangan memandu seumur hidup, hukuman penjara mandatori
GEORGE TOWN – Kerajaan digesa supaya mengenakan hukuman yang lebih berat termasuk larangan memandu seumur hidup dan hukuman penjara mandatori, terhadap pemandu yang ditangkap memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
Pegawai Pendidikan Kanan, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) N.V. Subbarow berkata, memandu dalam keadaan mabuk dan di bawah pengaruh dadah membawa ancaman serius kepada pengguna jalan raya, dengan pejalan kaki serta pemandu yang tidak bersalah menjadi mangsa akibat sikap tidak bertanggungjawab ini.
Beliau turut menyeru Kementerian Pengangkutan dan pihak polis supaya meningkatkan penguatkuasaan menerusi sekatan jalan raya secara berkala, ujian saringan alkohol serta ujian dadah terhadap pemandu yang disyaki memandu di bawah pengaruh bahan berkenaan.
“Memandu dalam keadaan mabuk adalah jenayah yang boleh dielakkan tetapi menjejaskan nyawa orang yang tidak bersalah.
“Mereka yang melakukan perbuatan sedemikian mestilah berdepan akibat yang berat, terutamanya apabila tindakan mereka mengakibatkan kecederaan parah atau kematian,” katanya, hari ini.
Beliau berkata, lesen pesalah sepatutnya dibatalkan serta-merta dan turut menggesa denda yang lebih tinggi dan hukuman penjara yang lebih lama bagi mencegah kesalahan berulang.
Subbarow menambah, sebilangan pemandu seolah-olah menganggap perbuatan meminum alkohol atau mengambil dadah sebelum memandu sebagai perkara biasa, walaupun ia membawa bahaya yang sangat serius kepada pengguna jalan raya yang lain.
Beliau kemudiannya menegaskan penguatkuasaan mestilah tegas, konsisten dan dilaksanakan tanpa berbelah bahagi bagi memastikan pesalah dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka.
Ketika membentangkan Belanjawan 2027 Jumaat lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemandu yang menyebabkan kemalangan semasa memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah bakal diwajibkan membayar pampasan kepada mangsa di bawah cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan.
Beliau berkata pindaan yang dicadangkan itu akan mewajibkan pembayaran pampasan kepada mangsa kemalangan yang melibatkan pemandu mabuk atau pemandu di bawah pengaruh dadah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








