Meta gesa Australia nilai semula larangan remaja bawah 16 guna media sosial
SYDNEY – Gergasi teknologi, Meta menggesa Australia supaya menilai semula larangan penggunaan media sosial terhadap pengguna bawah 16 tahun.
Permintaan itu susulan pengenalan undang-undang yang mewajibkan platform digital utama seperti Meta, TikTok dan YouTube menghalang pengguna bawah umur daripada memiliki akaun sejak 10 Disember tahun lalu, lapor AFP.
Syarikat yang gagal mematuhi peraturan berkenaan boleh dikenakan denda sehingga AUS$49.5 juta (AS$33 juta).
Menurut Meta, pihaknya telah menutup 331,000 akaun Instagram, 173,000 akaun Facebook dan 40,000 akaun Threads yang didapati berkaitan pengguna bawah umur dalam tempoh seminggu sehingga 11 Disember.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu menegaskan komitmennya untuk mematuhi undang-undang berkenaan.
“Namun begitu, kami menggesa kerajaan Australia untuk bekerjasama dengan industri secara konstruktif bagi mencari jalan yang lebih baik, seperti memberi insentif kepada seluruh industri untuk meningkatkan standard dalam menyediakan pengalaman dalam talian yang selamat, melindungi privasi dan sesuai dengan umur dan bukannya mengenakan larangan menyeluruh,” kata Meta dalam kenyataan tersebut.
Meta turut mengulangi gesaan sebelum ini supaya kedai aplikasi (app stores) diwajibkan mengesahkan umur pengguna serta mendapatkan kebenaran ibu bapa sebelum golongan bawah 16 tahun dibenarkan memuat turun aplikasi.
Menurut Meta, ibu bapa dan pakar bimbang larangan itu akan mengasingkan golongan muda daripada komuniti dalam talian, selain berpotensi mendorong sebahagian daripada mereka ke aplikasi yang kurang dikawal selia dan terjerumus ke sudut gelap internet.
Sejak larangan itu dilaksanakan, syarikat berpangkalan di California berkenaan memaklumkan bahawa ia telah membantu menubuhkan OpenAge Initiative, sebuah kumpulan bukan keuntungan yang melancarkan alat pengesahan umur dikenali sebagai AgeKeys untuk digunakan oleh platform yang mengambil bahagian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








