Penggunaan kalimah Arab dikawal undang-undang demi sensitiviti agama
KUALA LUMPUR – Orang bukan Islam tidak dibenarkan menggunakan perkataan atau istilah kalimah Arab tertentu bagi merujuk, menggambarkan atau menjalankan ritual serta ajaran agama selain Islam, sebagaimana diperuntukkan di bawah undang-undang negeri bagi menjaga sensitiviti dan keharmonian agama di negara ini.
Melalui poster yang dimuat naik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di Facebook, ia menjelaskan bahawa kalimah Arab tidak boleh digunakan orang bukan Islam untuk tujuan agama.
Bagaimanapun, penggunaan bahasa Arab dibolehkan untuk tujuan budaya, pendidikan, seni, lagu negeri atau komunikasi umum.
“Bahasa Arab bukan milik eksklusif orang Islam. Ia merupakan bahasa komunikasi yang digunakan secara meluas di negara-negara Arab yang terdiri daripada Muslim dan bukan Muslim,” jelas kenyataan tersebut.
Namun, dalam konteks Malaysia, terdapat garis panduan undang-undang yang jelas berkaitan penggunaan kalimah Arab oleh orang bukan Islam, khususnya apabila melibatkan urusan keagamaan.
Menurut Seksyen 9(1) Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor, orang bukan Islam tidak dibenarkan menggunakan perkataan atau istilah tertentu bagi merujuk, menggambarkan atau menjalankan ritual serta ajaran agama selain Islam.
Larangan itu bertujuan mengelakkan kekeliruan, salah faham serta sebarang bentuk pengembangan ajaran agama bukan Islam dalam kalangan umat Islam.
Antara 25 perkataan yang tidak dibenarkan digunakan bagi tujuan agama bukan Islam termasuk Allah, Firman Allah, Ulama, Hadith, Ibadah, Kaabah, Kadi, Ilahi, Wahyu, Mubaligh, Syariah, Qiblat, Haji, Mufti, Rasul, Iman, Dakwah, Injil, Salat, Khalifah, Wali, Fatwa, Imam, Nabi dan Sheikh.
Menurut kenyataan itu, penggunaan istilah-istilah tersebut dalam konteks keagamaan bukan Islam boleh dianggap sebagai satu kesalahan di sisi undang-undang negeri.
Hantaran tersebut turut dikongsi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
“Bahasa Arab milik semua, tapi ada batas yang perlu difahami,” tulisnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








