BERITA SEMASADALAM NEGERI

Lebih 3,000 undang-undang dikaji, tiga RUU baharu fokus sidang parlimen – Azalina

PUTRAJAYA – Proses reformasi institusi negara terus digiatkan apabila kerajaan selesai menjalankan kajian terhadap lebih 3,000 undang-undang sedia ada, dengan kini hanya berbaki 164 lagi untuk disemak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, usaha itu merupakan sebahagian daripada agenda besar reformasi Kerajaan Madani dalam memastikan sistem perundangan negara kekal relevan, moden dan sejajar dengan keperluan semasa.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanan April di Laman Hijau, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita dah kaji lebih 3,000 undang-undang dan sekarang hanya tinggal 164 lagi yang belum kita semak.

“Tapi reformasi institusi ini bukan semata-mata untuk pinda undang-undang serta-merta, kita kaji dahulu, kemudian lihat bagaimana ia akan diselaraskan dengan kementerian dan agensi terlibat,” katanya

Azalina berkata, antara cabaran utama ialah kewujudan undang-undang yang sudah tidak selari dengan realiti semasa, termasuk yang digubal sebelum kemerdekaan.

Justeru, proses semakan itu bukan sahaja melibatkan kandungan undang-undang, tetapi juga aspek hukuman, denda dan kompaun.

Beliau turut menegaskan bahawa beberapa bidang seperti undang-undang kontrak dan jenayah kini sedang diberi keutamaan melalui jawatankuasa semakan undang-undang.

“Sebagai contoh, undang-undang kontrak kita hari ini tidak mampu meliputi secara menyeluruh isu tandatangan dan kontrak digital, kita sedang meneliti perkara ini secara mendalam,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azalina mengesahkan bahawa tiga Rang Undang-Undang (RUU) akan dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang, merangkumi RUU Bantuan Kewangan, RUU Perlindungan Saksi dan RUU Kebankrapan Rentas Sempadan.

Menyentuh mengenai RUU Perlindungan Saksi, beliau menekankan pentingnya kes melibatkan saksi yang dilindungi di bawah akta ini diselesaikan dengan segera.

“Kalau seseorang itu diletakkan di bawah perlindungan saksi, kesnya perlu diberi keutamaan dan tidak boleh ditangguh bertahun-tahun. Kalau tidak, ia bercanggah dengan prinsip asas akta itu sendiri,” ujarnya.

Bagi RUU Kebankrapan Rentas Sempadan pula, Azalina berkata, kerajaan sedang menjalankan libat urus dengan negara-negara ASEAN untuk memastikan wujudnya kerjasama dalam menangani isu aset syarikat yang terlibat dalam kebankrapan di luar negara.

“Saya dah bertemu dengan beberapa menteri undang-undang ASEAN dan mereka memberi maklum balas positif. Kita mahu pastikan aset tidak terbiar dan pemiutang boleh mendapatkan penyelesaian yang sewajarnya,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button