Parlimen India luluskan RUU kontroversi sertakan ahli bukan Islam dalam pengurusan wakaf
MUMBAI – Dewan Rakyat India baru-baru ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengawal harta wakaf umat Islam di negara itu yang bernilai lebih daripada RM62 bilion.
RUU kontroversi yang diusulkan oleh kerajaan nasionalis Hindu, dipimpin oleh Perdana Menteri, Narendra Modi itu akan melibatkan ahli bukan Islam dalam pengurusan lembaga wakaf dan memberi kerajaan lebih banyak kuasa dalam mengesahkan pemilikan tanah mereka.
Wakaf merujuk kepada harta peribadi yang disumbangkan secara kekal oleh umat Islam untuk tujuan agama atau kebajikan.
Kerajaan Bharatiya Janata Party (BJP) menyatakan bahawa perubahan itu bertujuan untuk memerangi rasuah dan ketidakcekapan, serta mempromosikan kepelbagaian.
Walau bagaimanapun, umat Islam bimbang bahawa langkah berkenaan akan menjadikan harta wakaf seperti masjid, kedai, makam dan tanah lebih terdedah kepada pengambilalihan dan pemusnahan.
Perubahan yang paling kontroversial adalah mengenai peraturan pemilikan, yang boleh memberi kesan kepada ratusan masjid dan makam kerana banyak harta tersebut tidak mempunyai dokumentasi rasmi.
Umat Islam di India bimbang bahawa kerajaan nasionalis Hindu akan mendapat kawalan lebih besar ke atas harta milik Muslim, ketika serangan ke atas mereka semakin kerap.
Semasa perbahasan di Parlimen, Menteri Dalam Negeri, Amit Shah berkata, ahli bukan Islam akan dilibatkan dalam lembaga wakaf hanya untuk tujuan pentadbiran dan memastikan sumbangan digunakan dengan betul.
Namun, pihak pembangkang menegaskan ia sebagai serangan terhadap hak perlembagaan dan undang-undang peribadi umat Islam.
Sebelum menjadi undang-undang, rang RUU itu akan dihantar kepada Presiden Droupadi Murmu untuk mendapat persetujuan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








