Tidak perlu politikkan tindakan penguatkuasaan ke atas peserta himpunan Sabtu lalu
KUALA LUMPUR – Tindakan penguatkuasaan berhubung himpunan mengenai rumah ibadat yang tidak berdaftar tidak wajar dipolitikkan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, pendirian kerajaan berhubung perkara berkenaan adalah jelas dan tidak wajar diputar belit demi kepentingan politik.
“Jangan mempolitikkan perkara ini. Pendirian kerajaan sangat jelas. Saya tidak mahu menambah keadaan atau mewujudkan naratif tambahan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Kulasegaran berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN–Besut) yang bertanya sama ada beliau telah menasihati kerajaan bahawa penangkapan dan penahanan individu susulan perhimpunan semalam adalah salah di sisi undang-undang.
Kulasegaran seterusnya berkata, proses penahanan individu yang terlibat dalam himpunan tersebut perlu dibenarkan berjalan mengikut proses undang-undang dan semua pihak diminta supaya tidak membuat kesimpulan atau andaian secara umum.
Semalam, polis mengesahkan penahanan 19 individu, termasuk pendakwah bebas Zamri Vinoth dan pengasas TanahMalaya.com, Tamim Dahari, berhampiran kompleks beli-belah Sogo, di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus yang mengesahkan penahanan itu turut berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 15 lelaki dan empat wanita berusia antara 30 hingga 64 tahun.
Tambahnya, polis menerima 131 laporan berhubung perhimpunan yang dirancang itu, yang dijadualkan berlangsung pada jam 8 malam Sabtu di hadapan sebuah kompleks beli-belah.
Menurutnya, pihak polis tidak meluluskan penganjuran perhimpunan tersebut selepas pertimbangan rapi dan penilaian keselamatan dilakukan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








