SUKAN

Sukan Asia: Sivasangari pertahan emas, sasaran enam emas dicapai

NAGOYA – S Sivasangari mengekalkan kejuaraan perseorangan wanita pada Sukan Asia Aichi-Nagoya selepas menewaskan wakil India, Anahat Singh, dalam aksi final hari ini.

Pemain ranking kelima dunia itu menundukkan Anahat yang berada di ranking ke-17 dunia, 11-4, 11-4, 11-7 di Arena Nagoya Kinjo Futo.

Kejayaan itu menyaksikan Sivasangari menjadi pemain skuasy kedua negara yang layak ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), selepas Ng Eain Yow turut mempertahankan gelaran perseorangan lelaki pada hari sama.

Juara perseorangan lelaki dan wanita pada Sukan Asia memperoleh kelayakan automatik ke LA28, sekali gus menyaksikan skuasy membuat penampilan sulung di pentas besar tersebut.

Terdahulu, Eain Yow menewaskan Abhay Singh 11-9, 11-5, 11-5 untuk mempertahankan emas perseorangan lelaki.

Sivasangari kini mencatat kemenangan dalam kesemua tiga pertemuan dengan Anahat.

Pada separuh akhir semalam, Sivasangari menewaskan wakil Hong Kong, Chan Sin Yuk, manakala Anahat mengatasi wakil Jepun, Satomi Watanabe.

Satomi kemudian meraih gangsa selepas menewaskan Chan Sin Yuk 11-3, 11-6, 7-11, 11-9 dalam penentuan tempat ketiga, awal hari ini.

Kejayaan Sivasangari itu turut membantu kontinjen negara mencapai sasaran enam pingat emas pada temasya berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button