RUU Perkhidmatan Parlimen: Young Syefura gesa peruntukan kewangan lebih jelas
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, menegaskan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen yang dibentangkan perlu benar-benar mengembalikan autonomi Parlimen, terutama dalam aspek pentadbiran dan kewangan.
Beliau berkata, sejak pemansuhan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 pada tahun 1992, Parlimen kehilangan kuasa autonomi dan kini bergantung sepenuhnya kepada Jabatan Perdana Menteri, menyebabkan kelemahan dalam mekanisme semak dan imbang terhadap eksekutif.
“RUU ini perlu memastikan Parlimen tidak lagi bergantung kepada budi bicara eksekutif dalam mendapatkan dana.
“Seksyen 12 hanya menyatakan kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi, tetapi ia tidak memberi jaminan sebenar kepada autonomi kewangan Parlimen,” katanya ketika berbahas di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam perbahasannya, Young Syefura turut menekankan keperluan menambah bajet bagi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, termasuk sokongan kajian yang lebih kukuh dan penyelidikan berkualiti.
“Kita sangat memerlukan penambahan staf dan peruntukan mencukupi untuk kajian mendalam, termasuk kos lawatan kerja dan koordinasi dengan pakar bidang tertentu.
“Jumlah penyelidik di Parlimen masih terlalu kecil, hanya 15 orang sejak tahun 2005, berbanding House of Commons di United Kingdom yang mempunyai 80 penyelidik,” jelasnya.
Menurutnya, kelemahan dalam bahagian penyelidikan menyebabkan Ahli Parlimen perlu menunggu sehingga tiga hari untuk mendapatkan analisis atau maklumat tertentu.
“Jika penyelidikan ini diperkasakan dengan tenaga kerja dan sumber kewangan yang mencukupi, Ahli Parlimen boleh mendapatkan maklumat lebih cepat dan ini pasti meningkatkan kualiti perbahasan serta pembuatan dasar,” katanya lagi.
Young Syefura turut mengesyorkan penubuhan Jawatankuasa Bersama antara Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang dianggotai oleh wakil kerajaan dan pembangkang, selaras dengan Konvensyen Parlimen sedia ada.
“Jawatankuasa itu penting bagi memastikan Majlis Perkhidmatan Parlimen mempunyai mekanisme semak dan imbang dalam setiap keputusan berkaitan pentadbiran serta kewangan,” tambahnya.
Mengakhiri perbahasannya, Young Syefura menyatakan sokongan terhadap RUU itu tetapi berharap pindaan dapat dilakukan bagi memastikan Parlimen benar-benar bebas dan berfungsi dengan lebih berkesan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








