Peserta Himpunan Zara Qairina diingatkan patuh undang-undang
KUALA LUMPUR – Polis memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba melanggar undang-undang ketika menyertai Himpunan Demi Zara Qairina di ibu negara, malam ini dan esok.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus menegaskan, pihaknya tidak akan bertolak ansur sekiranya ada peserta mengambil peluang untuk melakukan tindakan di luar batas undang-undang.
“Kita akan permudahkan, tetapi jangan ambil peluang. Jangan ambil tindakan di luar undang-undang, tidak mematuhi arahan.
“Kita akan ambil tindakan segera, kita sangat serius. Kita tidak akan bertolak ansur,” katanya dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.
Sementara itu, menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, seramai 40 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan bagi memantau kelancaran perhimpunan berkenaan yang akan dianjurkan di pekarangan sebuah pusat beli-belah, di sini.
“Pihak PDRM akan membuat pemantauan dengan menempatkan anggota keselamatan di sepanjang perhimpunan berlangsung,” katanya.
Setakat ini katanya, tiada sebarang penutupan atau lencongan jalan raya dibuat di sekitar kawasan pusat beli-belah.
“Namun bergantung kepada situasi semasa, pihak PDRM akan memudahcara peserta-peserta perhimpunan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.
Himpunan itu dijadualkan bermula pukul 8 malam dan dianjurkan oleh gabungan NGO bersama pempengaruh serta tokoh rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








