JENAYAH & MAHKAMAH

Kes Zara Qairina: Peguam Ram Singh tawar khidmat guaman secara percuma

KOTA KINABALU – Peguam Datuk Ram Singh yang mewakili salah seorang daripada lima remaja yang dituduh berkaitan kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir mendedahkan beliau memberikan perkhidmatan secara pro bono (percuma).

Beliau yang mengetuai pasukan guaman mengakui sedih dengan apa yang menimpa tertuduh dalam kes tersebut.

“Sebagai seorang bapa, saya berasa sedih memandangkan mereka masih kanak-kanak. Sebab itu saya lakukan secara pro bono bersama peguam lain.

“Saya bersama peguam lain wakili mereka dan mereka bukan terdiri daripada anak VVIP,” katanya ketika ditemui sebelum prosiding pertuduhan terhadap lima remaja itu berlangsung di Mahkamah Kanak-Kanak, di sini pada Rabu.

Pasukan Ram turut disertai dua lagi peguam iaitu Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan.

Penjelasan Ram Singh itu sekaligus menangkis tuduhan pihak tertentu bahawa remaja yang dituduh merupakan anak daripada kalangan VVIP.

Sementara itu, dalam prosiding hari ini, mahkamah turut memerintahkan larangan (gag order) melibatkan identiti lima remaja yang dituduh.

Sementara itu, peguam Hamid Ismail yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Zara Qairina berkata, pihaknya tidak dibenarkan bercakap mengenai prosiding kerana wujudnya gag order.

“Kami memohon maaf, kalau perkara lain kami boleh jawab tetapi untuk prosiding hari ini kami tidak dibenarkan kerana adanya Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 dan juga gag order.

“Gag order hanya untuk kes ini sahaja, tetapi inkues tidak ada dan boleh dibuat liputan,” katanya yang hadir sebagai pemerhati dalam kes tersebut.

Beliau turut menjelaskan, proses perundangan yang melibatkan Akta Kanak-Kanak 2001 menghalang penyiaran mengenai kanak-kanak, sama ada melalui tempat tinggalnya, nama atau ibu bapanya.

“Bukannya sebab VVIP atau disuruh sesiapa. Tidak, itu adalah undang-undang Malaysia. Jadi jangan salah sangka ia permainan ‘orang atas’. Tidak,” tegas Hamid.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button