Inkues Zara Qairina: Allahyarham suka tegur, kongsi makanan – Saksi
KOTA KINABALU – Mahkamah Koroner hari ini diberitahu, seorang saksi dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengaku pernah dipanggil pelajar senior beberapa tahun lalu, kerana dituduh mencuri makanan.
Saksi kanak-kanak ke-11 yang juga saksi ke-20 inkues itu memberitahu, kejadian itu berlaku ketika dia masih berstatus junior.
Peguam Joan Goh yang mewakili seorang tertuduh kanak-kanak dalam inkues itu berkata, saksi berkenaan sebelum itu mengaku mengetahui mengenai arwah Zara Qairina dipanggil senior berhubung kes kehilangan kad bank kawan arwah dan lencana Jalur Gemilang ketua bilik.
“Saksi ketika (berstatus) junior juga mengatakan pernah dipanggil pelajar senior. Sebab apa dipanggil, saksi hanya ingat kerana saksi disyaki mencuri makanan pelajar senior,” katanya ketika menceritakan semula keterangan saksi pada prosiding yang masuk hari ke-21 di Mahkamah Koroner, di sini hari ini.
Joan berkata, saksi bersetuju bahawa pada malam 15 Julai lalu, apabila Allahyarham Zara Qairina disyaki mencuri dan pelajar senior berjumpa dengan arwah, ia kerana menjalankan tanggungjawab sebagai pelajar senior.
Sementara itu, katanya, saksi memberitahu mahkamah kira-kira jam 3.50 pagi pada 16 Julai lalu, dia terbangun sebelum seorang pelajar memaklumkan “ada orang mati”.
“Saksi dan semua pelajar lain berlari ke hujung tangga di depan bilik sebab ‘orang’ itu telah diangkat ke hujung asrama sementara menunggu ambulans sampai.
“Saksi kemudiannya pergi ke surau dan setibanya di surau barulah saksi tahu ‘orang’ yang dimaksudkan itu ialah Allahyarham Zara Qairina,” katanya lagi.
Joan kemudian berkata, saksi turut memberitahu mahkamah sepanjang mengenali Allahyarham Zara Qairina, dia mendapati Allahyarham adalah seorang yang baik dan suka menegur orang.
“Contohnya dia akan memberi salam kepada saksi, ‘Assalamualaikum kak’ dan Zara juga suka berkongsi makanan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








