Inkues Zara Qairina: Ibu tolak bedah siasat
KOTA KINABALU – Mahkamah Koroner diberitahu ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir menolak bedah siasat dijalankan ke atas jenazah anaknya walaupun telah diberikan penjelasan.
Menurut Dr Logaraj Ratha, 33, dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), memandangkan tiada sebarang isu dibangkitkan, pihak hospital kemudiannya menyerahkan jenazah Zara kepada ibunya, Noraidah Lamat, selaras dengan dasar hospital dan jabatan.
“Selepas menerima pengesahan daripada Noraidah bahawa beliau menolak bedah siasat, saya menyerahkan kepadanya Borang Penolakan Bedah Siasat Atas Permintaan Sendiri. Saya menerangkan kandungan dokumen tersebut serta bahagian yang perlu diisi.
“Saya juga memaklumkan bahawa tanpa bedah siasat, keluarga tidak akan dapat membuat sebarang tuntutan atau memperoleh laporan rasmi mengenai punca kematian daripada Jabatan Perubatan Forensik hospital pada masa akan datang,” katanya ketika membacakan kenyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, hari ini.
Dr Logaraj merupakan saksi ketujuh dalam inkues mencari punca kematian pelajar Tingkatan Satu itu.
Beliau kemudiannya berkata, Noraidah telah mengisi perenggan pertama dan bahagian tandatangan penuntut dalam surat tersebut manakala kakak iparnya, Nur Shira Abdullah, turut mengisi butiran di ruangan saksi dan menandatangani dokumen itu.
“Saya menandatangani dokumen tersebut sebagai pegawai perubatan yang mengendalikan kes berkenaan. Noraidah mengesahkan bahawa beliau memahami penjelasan serta kandungan surat yang telah dilengkapkan dan ditandatangani,” katanya.
Dr Logaraj kemudiannya memberitahu, memandangkan kes tersebut melibatkan siasatan polis, beliau telah memaklumkannya kepada pakar patologi forensik yang bertugas, Dr Ding Chee Swan.
Beliau turut menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Wong Yew Zhung, dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Papar.
“Wong memaklumkan bahawa beliau telah bertemu dengan Dr Pavankumar Balachandran, pegawai perubatan yang bertugas di Jabatan Bedah Saraf.
“Dr Pavankumar mengesahkan bahawa punca kematian Zara adalah kecederaan otak traumatik teruk dengan hipoksia iskemia ensefalopati.
“Wong juga berkata beliau akan merujuk kepada pegawai atasan sebelum memberikan maklum balas lanjut,” katanya.
Dr Logaraj kemudiannya berkata, beliau dimaklumkan oleh Inspektor Wong bahawa pihak polis tidak akan mengeluarkan Borang Pol. 61 iaitu Permintaan Bedah Siasat, dan hospital boleh menyerahkan jenazah Zara kepada keluarganya tanpa melalui proses bedah siasat mediko-legal.
“Bagi tujuan pelepasan jenazah, saya menerima surat pelepasan daripada Wong yang membenarkan jenazah Zara diserahkan kepada Noraidah tanpa melalui proses bedah siasat mediko-legal.
“Saya kemudian bertemu dengan ibu Zara, Noraidah, bersama seorang lagi ahli keluarga, Nur Shira Abdullah. Saya memaklumkan kepada Noraidah bahawa polis tidak mengeluarkan Borang Pol. 61.
“Saya juga cuba mendapatkan maklumat lanjut mengenai kematian Zara. Saya menerangkan kepada Noraidah, dengan disaksikan Shira, tentang keperluan dan kepentingan pemeriksaan bedah siasat.
“Walaupun Borang Pol. 61 tidak dikeluarkan oleh polis, bedah siasat klinikal masih boleh dijalankan dengan persetujuan waris terdekat. Namun, Noraidah tetap menolak walaupun penjelasan telah diberikan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





