RUU MARA 2026 perketat tadbir urus, had kuasa Pengerusi – Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR – Kuasa Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) bakal dihadkan di bawah Rang Undang-Undang (RUU) MARA 2026 yang dijangka dibentangkan di Parlimen sebelum hujung tahun ini.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata 80 peratus kandungan RUU berkenaan memberi tumpuan kepada aspek tadbir urus korporat bagi memperketat struktur pengurusan institusi itu.
Beliau berkata, draf RUU MARA 2026 dicadangkan bagi menggantikan Akta MARA 1966 yang sudah berusia 60 tahun dan disifatkan terlalu longgar dari aspek tadbir urus.
Katanya, antara intipati utama RUU berkenaan ialah mengurangkan kuasa Pengerusi MARA yang selepas ini hanya bertanggungjawab mempengerusikan Lembaga Pengarah atau Majlis serta menentukan perkara dasar.
“Langkah itu berbeza dengan Akta MARA 1966 yang memberikan kuasa besar kepada Pengerusi sehingga melangkaui kuasa eksekutif pengurusan.
“Selain itu pengasingan kuasa yang jelas antara Lembaga dengan pengurusan MARA, kriteria perlantikan (Fit and Proper Criteria) Ahli Lembaga dan mengehadkan tempoh perkhidmatan, tatakelola kewangan, perolehan yang ketat serta memenuhi piawaian nasional dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca juga : AGYM tembus pasaran China hasil bimbingan GTG MARA, sasar ribuan rangkaian farmasi
Asyraf Wajdi berkata RUU baharu itu juga mewujudkan beberapa Jawatankuasa Lembaga yang wajib termasuk Jawatankuasa Audit MARA, Jawatankuasa Pelaburan MARA, Jawatankuasa Kewangan dan Tadbir Urus MARA serta Jawatankuasa Risiko MARA.
Katanya, buat pertama kali juga Jawatankuasa Syariah diwujudkan untuk memastikan segala aspek operasi MARA mematuhi prinsip Syariah.
“Banyak lagi aspek penting yang terkait dengan amalan Tadbir Urus yang baik, kerana selama ini tidak pernah disebut dengan jelas dalam Akta MARA 1966.
“Semua ini dilaksanakan supaya tiada lagi kes dan insiden yang terkait dengan salahguna kuasa, kelemahan tadbir urus, penyelewengan, penyimpangan, ketirisan mahupun keborosan yang boleh berlaku dan berisiko mengakibatkan kemudaratan besar kepada institusi terbesar yang bertanggungjawab menjaga kepentingan Melayu dan Bumiputera di negara ini,” katanya.
Tambahnya, langkah memperkemas tadbir urus itu bermula selepas beliau dilantik pada 10 Mac 2023 apabila Pasukan Khas untuk menilai dan memperbaiki Tadbir Urus Korporat serta Tatakelola Kewangan MARA ditubuhkan.
Pasukan khas itu diketuai bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim.
Menurutnya, penubuhan pasukan berkenaan susulan maklum balas mengenai pelbagai isu berkaitan kelemahan tadbir urus MARA sebelum ini.
Antara isu yang dikenal pasti termasuk pembelian aset luar negara di Australia dan United Kingdom antara 2012 hingga 2014 yang menyebabkan anak syarikat MARA Corp, MARA Inc, mengalami kerugian terkumpul RM286.30 juta dari 2012 hingga 2022.
Beliau turut menyebut isu penajaan pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW), sekitar 2016 hingga 2017 yang membawa kepada penggantungan Pengerusi MARA ketika itu.
Selain itu, katanya, terdapat kerugian membabitkan jutaan ringgit daripada pelbagai projek di bawah MARA, kelemahan pengurusan kutipan hutang pinjaman serta isu kartel yang menguasai tender perolehan MARA, termasuk tender makanan bernilai puluhan juta ringgit.
Susulan dapatan pasukan khas itu, beberapa tindakan diambil termasuk memperketat disiplin kewangan semua bahagian dalam MARA, melaksanakan audit forensik terhadap anak syarikat MARA serta menyelaraskan Audit Dalaman MARA dan MARA Corp secara berpusat.
MARA turut merombak bahagian perolehan dan mewujudkan sistem pelaporan serta penyediaan laporan prestasi kewangan bulanan pengurusan kepada Majlis MARA mengikut piawaian antarabangsa.
Beliau berkata, semua langkah itu dilaksanakan bagi memastikan tiada lagi kes atau insiden berkaitan salah guna kuasa, kelemahan tadbir urus, penyelewengan, penyimpangan, ketirisan atau keborosan yang boleh memudaratkan institusi berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








