BERITA SEMASA

Asyraf Wajdi arah siasat video tular didakwa buli di MRSM

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengarahkan siasatan segera dijalankan berhubung video tular yang didakwa berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook miliknya, beliau menegaskan bahawa tiada kompromi akan diberikan sekiranya ia adalah perlakuan buli membabitkan pelajar-pelajar dari MRSM.

“Saya sudah minta pegawai saya siasat segera jika benar peristiwa ini berlaku di MRSM. Jika benar pelajar-pelajar ini adalah pelajar MRSM, tiada kompromi lagi, tindakan tegas pasti akan diambil,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut mengulangi pendirian tegasnya terhadap larangan sebarang bentuk budaya buli dalam institusi di bawah seliaan Mara.

“Saya sudah mengingatkan banyak kali semenjak diberikan amanah menjaga Mara, ‘You Touch You Go!’ Tiada tempat untuk pembuli atau yang cuba membudayakan buli dalam apa jua bentuk di MRSM,” tegasnya.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 1 minit 30 saat yang memaparkan sekumpulan pelajar lelaki menghempap kepala dan badan seorang pelajar lain dalam keadaan tertiarap di atas katil.

Remaja lelaki berkenaan turut dilihat disebat dengan tali pinggang pada bahagian punggung, namun tidak dapat dipastikan ia adalah suatu gurauan atau perbuatan buli.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button