
Isu buli sekolah: Kembali hukuman rotan?
KUALA LUMPUR – Kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, 13, terus mencetuskan pelbagai reaksi, sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi berhubung punca kejadian.
Dakwaan mengatakan kematian remaja berkenaan berpunca daripada insiden buli di sekolah berasrama telah menimbulkan keresahan dalam kalangan ibu bapa, terutama mereka yang menghantar anak ke institusi pendidikan berasrama penuh.
Susulan itu, beberapa pihak tampil mengemukakan pelbagai cadangan bagi menangani isu disiplin dalam kalangan pelajar, termasuk mencadangkan pengembalian semula penggunaan rotan sebagai langkah mendidik dan mencegah salah laku.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain, Dr Afif Mohd Ridzwan yang kerap merawat pesakit terlibat dengan kes buli, penggunaan rotan bukan bertujuan mencederakan, sebaliknya sebagai simbol disiplin yang boleh menimbulkan rasa gerun dalam kalangan pelajar.
“Kembalikan rotan ke tangan guru semula. Ia bukanlah bertujuan merotan semata-mata tetapi menakutkan atau menggerunkan para pelajar apabila buat salah.
“Saya sendiri pernah beri rotan kepada cikgu anak-anak saya di sekolah, agar mereka menggunakan rotan tersebut jika mereka tidak buat kerja sekolah atau mempunyai salah laku,” katanya menerusi sebuah video di akaun TikTok miliknya.

Menurut Dr Afif, selain merotan, pihak sekolah juga perlu menimbulkan rasa takut dalam kalangan pelajar dari sudut psikologi.
“Selain itu saya cadangkan nama pembuli diumumkan di sekolah (seperti waktu perhimpunan). Ini secara tak langsung mempengaruhi psikologi pelajar hingga membuatkan mereka malu untuk membuli atau buat kesalahan lain.
“Ini tidak, segala masalah hanya dibawa ke bilik kaunseling untuk siasat dan sorok kesalahan pelajar.
“Bagi saya, siapa yang sudah terbukti buat salah di sekolah umumkan sahaja nama mereka. Dari segi psikologi boleh buat mereka berubah dan beri pengajaran kepada yang lain agar tidak melakukan kesalahan,” katanya.

Terdahulu, Dr Afif Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Wataniah, Kelantan, merasmikan program QR Code ‘Minda Sihat Tanpa Buli’ di sekolah itu baru-baru ini.
Sementara itu, Dr Afif berharap semua pihak memanfaatkan sistem aduan digital di sekolah yang mudah diakses termasuk melalui kod QR, untuk membolehkan ibu bapa atau pelajar membuat laporan.
“Sistem aduan ini memberi peluang kepada ibu bapa atau pelajar sendiri membuat aduan berkaitan kes buli atau masalah lain.
“Dalam sistem tersebut kita boleh tahu segala maklumat siapa yang mengadu dan apa isu yang ditimbulkan untuk disiasat. Apabila dapat tahu siapa yang membuli tu, tolonglah umumkan nama mereka dalam kalangan pelajar. Jangan sembunyikan kesalahan mereka.
“Sistem QR sebenarnya hanya untuk tutup siapa pengadu. Pelajar yang bersalah sahaja diumumkan namanya,” ujarnya sambil juga berharap sistem warden di sekolah berasrama dapat diperbaiki dan diperbanyakkan CCTV (kamera litar tertutup).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








