BERITA SEMASA

Tiada kompromi terhadap kes buli, tindakan tegas menanti pelaku – JPN Perlis

KANGAR – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis memberi jaminan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku buli di institusi pendidikan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.

Pengarah Pendidikan Perlis, Rose Aza Che Arifin berkata, pihaknya memandang serius insiden yang didakwa membabitkan salah laku murid sehingga mengakibatkan kecederaan di sebuah sekolah di negeri itu.

“Pihak kami tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku buli di institusi pendidikan. Tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang bersalah,” katanya hari ini.

Tambah beliau, kes berkenaan kini sedang disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JPN Perlis memberikan kerjasama penuh bagi membantu siasatan.

“Pada masa sama, kebajikan murid yang menjadi mangsa dalam insiden ini turut diberi sepenuh perhatian,” katanya lagi.

Sehubungan itu, orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak tepat kerana dikhuatiri boleh mengganggu proses siasatan yang sedang dijalankan.

Beliau turut menegaskan komitmen JPN Perlis untuk terus memastikan aspek keselamatan dan kesejahteraan murid, guru serta seluruh warga institusi pendidikan di bawah kelolaannya sentiasa terpelihara.

Semalam, media melaporkan tiga pelajar lelaki tingkatan satu ditahan selepas disyaki membuli dan memeras ugut rakan sekelas mereka sehingga mangsa mengalami keretakan pada buku lali kiri dalam kejadian Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop dilaporkan berkata, mangsa yang pada mulanya didakwa tergelincir mendedahkan perkara sebenar kepada ibunya ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Mangsa yang berusia 13 tahun mendakwa menjadi mangsa buli sejak beberapa bulan lalu dan pada kemuncak hari kejadian, remaja itu ditendang, dipukul, diludah serta dibaling dengan dua buah tong sampah besar pada bahagian badan serta kepala.

Susulan laporan polis yang dibuat oleh ibu mangsa, ketiga-tiga suspek ditahan reman bermula semalam sehingga esok bagi membantu siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button