BERITA SEMASA

Kes buli MRSM : Kertas siasatan dibuka, tujuh terlibat dikenal pasti

SEBERANG PRAI – Polis telah mengenal pasti tujuh pelajar termasuk mangsa terlibat dalam kes buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Seberang Prai Selatan, dekat sini, yang tular di media sosial sejak semalam.

Timbalan Ketua Polis SPS, Mohd Norazmi Abd Ghapar dilaporkan berkata, hasil siasatan awal tujuh pelajar termasuk mangsa dikenal pasti terbabit dalam video yang dipercayai berlaku pada pertengahan tahun lalu.

Dalam video tular, sekumpulan pelajar lelaki dilihat menindih bahagian bahu dan kepala mangsa dengan cara menghempapnya berkali-kali manakala seorang lagi duduk pada bahagian hujung kaki mangsa.

Mangsa juga dilihat dipukul dengan menggunakan tali pinggang pada bahagian punggung.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku akibat tindakan ejek-mengejek antara pelajar.

Polis memberi jaminan bahawa siasatan mengenai kes itu akan dilakukan secara menyeluruh dengan mengambil kira semua aspek sebelum dirujuk kepada pihak pendakwa raya.

Sementara itu, semalam, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelajar yang disyaki menjadi pelaku kes itu telah digantung dari persekolahan dan akan dipastikan tidak mengganggu siasatan.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button