YADIM kecam pembakaran masjid, al-Quran di Nepal
PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan merosakkan dan membakar sebuah masjid di Golbazar, Siraha, Nepal dalam insiden ketegangan antara komuniti yang berlaku baru-baru ini.
Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr Hasan Bahrom, berkata kejadian itu lebih mendukacitakan apabila naskhah al-Quran dan bahan-bahan hadis yang berada di dalam masjid turut musnah dalam kebakaran.
Menurutnya, perbuatan membakar al-Quran, merosakkan masjid serta mencemarkan rumah ibadat adalah tindakan tidak wajar dalam masyarakat bertamadun kerana bertentangan dengan nilai kemanusiaan, keamanan dan keharmonian.
“Kebebasan beragama tidak boleh dijadikan alasan untuk menghina, mencemarkan atau merosakkan agama dan rumah ibadat mana-mana pihak.
“Sebarang perbezaan dan ketegangan antara komuniti hendaklah diselesaikan melalui dialog dan saluran undang-undang, bukan melalui provokasi, keganasan atau tindakan membalas dendam atas nama agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasan berkata, Islam sendiri mengajar umatnya supaya menghormati rumah ibadat serta berlaku adil terhadap mereka yang berbeza agama.
Sehubungan itu, beliau menyeru pihak berkuasa Nepal supaya menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan adil serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang terbukti terbabit.
Dalam pada itu, YADIM turut menyeru masyarakat supaya tidak menjadikan musibah banjir yang melanda Nepal sebagai ruang untuk mencela atau meraikan penderitaan mangsa.
Sebaliknya, katanya, nilai rahmah, ihsan dan kemanusiaan perlu diterjemahkan melalui doa serta bantuan kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira agama dan latar belakang.
“Pendirian ini selari dengan semangat Malaysia MADANI dan MADANI Membantu di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Hasan, yang mengangkat nilai ihsan, kemanusiaan dan rahmah dalam kehidupan bermasyarakat serta hubungan antarabangsa,” katanya.
YADIM turut mendoakan agar keamanan kembali pulih di Nepal dan semua mangsa serta masyarakat yang terkesan diberikan perlindungan, kekuatan dan pertolongan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








