
YADIM sokong penjelasan Menteri Agama, pensijilan halal kekal terpelihara
KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyatakan sokongan penuh terhadap penjelasan yang dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berhubung isu dekorasi perayaan tertentu di hotel dan premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr. Hasan Bahrom menegaskan, penjelasan berkenaan adalah tepat, berfakta serta selari dengan prinsip syariah dan realiti masyarakat majmuk di negara ini.
“Keputusan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak 2023 jelas menunjukkan bahawa pensijilan halal Malaysia kekal terpelihara dan tidak terjejas, selagi prinsip Halalan Toyyiban dipatuhi sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut YADIM, kefahaman terhadap konsep halal perlu dilihat secara menyeluruh dan tidak terhad kepada simbol atau hiasan semata-mata sebaliknya merangkumi aspek lebih substantif seperti sumber bahan mentah, proses penyediaan, kebersihan, pengurusan serta kawalan rantaian bekalan.
Sehubungan itu, YADIM menyokong ketegasan kerajaan dalam menetapkan garis sempadan yang jelas, termasuk larangan terhadap sebarang unsur ibadah, ritual atau penggunaan peralatan sembahan agama lain, selain larangan mengaitkan logo dan pensijilan halal dengan dekorasi perayaan.
Pendekatan tersebut, menurut badan dakwah itu, membuktikan tiada kompromi terhadap akidah umat Islam, malah kesucian dan kredibiliti pensijilan halal terus menjadi keutamaan negara.
Dalam masa sama, YADIM berpandangan pendekatan berhemah yang diketengahkan oleh Dr. Zulkifli turut berperanan mendidik masyarakat agar menangani isu berkaitan agama dengan ilmu, hikmah serta adab berbeza pandangan, khususnya dalam konteks negara berbilang kaum dan agama.
“Dalam mempertahankan prinsip Islam, sikap saling menghormati budaya dan agama lain perlu bergerak seiring, tanpa ekstremisme atau prejudis yang boleh menjejaskan keharmonian sosial.
“Sebagai institusi dakwah, YADIM melihat isu berkenaan sebagai peluang untuk memperkukuh kefahaman umat Islam mengenai makna sebenar halal, di samping memelihara keharmonian masyarakat serta kestabilan negara, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kebijaksanaan, ihsan dan keadilan, ,” menurut kenyataan itu.
YADIM turut menyeru semua pihak, termasuk pemain industri dan masyarakat umum, supaya merujuk kepada pihak berautoriti seperti JAKIM dan agensi agama negeri bagi mendapatkan penjelasan sahih, serta mengelakkan isu agama dijadikan polemik yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








