BERITA SEMASA

Tambahan kuota haji: Malaysia dijangka terima keputusan selewat-lewatnya hujung bulan ini

KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada Malaysia akan menerima tambahan kuota haji daripada kerajaan Arab Saudi dijangka diketahui selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya setakat ini masih belum menerima sebarang maklum balas daripada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfig Fawzan Al-Rabiah mengenai perkara berkenaan, lapor BERNAMA.

“Berapa banyak (kuota tambahan) kita tak pasti lagi kerana ia bergantung juga kepada polisi yang akan kerajaan Arab Saudi gunakan pada tahun ni.

“Kalau polisi diperketatkan, contohnya kalau tidak mahu jumlah (jemaah haji) yang begitu ramai dalam masjid seperti yang berlaku semasa COVID-19 dulu, maka kuota mungkin terhad,” katanya.

Mohd Na’im berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Peralihan Penstrukturan Pengurusan Institusi Kemahiran Baitulmal (IKB) di bawah Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) di sini hari ini.

Untuk rekod, kuota jemaah haji yang diperuntukkan buat Malaysia adalah seramai 31,600 orang.

Sebelum ini, Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan Malaysia telah mengemukakan permohonan rasmi keapda kerajaan Arab Saudi bagi mendapatkan kuota tambahan 10,000 jemaah.

Menurut TH, permohonan itu dibuat Mohd Na’im semasa mengadakan kunjungan hormat ke atas Dr Tawfig di Jeddah pada Januari lepas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button