‘Ada suami gunakan proses mahkamah untuk teruskan dendam dan penderaan terhadap isteri’ – Mohd Na’im
CYBERJAYA – Terdapat segelintir suami didapati bersikap ‘zalim’ terhadap pasangan apabila dengan sengaja didapati tidak hadir ke Mahkamah Syariah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, sikap sedemikian turut menyebabkan kes-kes di mahkamah yang sering lewat dan mengalami banyak penangguhan.
“Ada suami yang menggunakan proses mahkamah untuk meneruskan dendam dan penderaan terhadap isteri. Mereka sengaja tidak hadir pada tarikh sebutan kes kerana tahu tindakan itu akan menyebabkan penangguhan.
“Bila mahkamah tetapkan tarikh, contohnya 23 Oktober, suami tak hadir. Ditangguhkan ke 20 November. Pada 20 November, masih tak hadir.
“Ditangguh lagi ke Disember. Ada kes berlarutan sampai tahun berikutnya hanya kerana pihak suami sengaja tidak datang,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, hari ini.
Beliau kemudian menegaskan, tindakan memberikan tekanan secara psikologi melalui kelewatan proses perceraian, tuntutan nafkah, atau hak jagaan anak adalah satu bentuk kezaliman yang ditegah dalam Islam.
Mohd Na’im turut mengingatkan, Islam mengajar perceraian dilakukan secara baik dan adil, bukan dengan dendam atau permusuhan.
“Allah SWT mengajar supaya jika bercerai, bercerailah dengan cara yang makruf. Tapi apa yang kita lihat, ramai pasangan khususnya suami bawa rasa marah dan dendam ke mahkamah lalu menggunakan proses ini untuk terus menyakiti pasangan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Na’im turut menegaskan bahawa Mahkamah Syariah sebenarnya mempunyai kuasa penuh untuk bertindak apabila pihak yang disaman sengaja tidak hadir.
“Jangan anggap mahkamah tak boleh buat apa-apa. Ada peruntukan undang-undang membenarkan tindakan diambil. Di bawah Seksyen 51, mahkamah boleh mengeluarkan waran tangkap terhadap suami yang sengaja tidak hadir,” katanya.
Selain itu, di bawah Seksyen 121 Tatacara Mal, mahkamah juga boleh meneruskan perbicaraan sebelah pihak sekiranya terbukti saman telah diterima tetapi pihak berkenaan tetap tidak hadir.
“Jika saman dah disahkan diterima dan suami tetap tak datang, isteri boleh mohon supaya kes dibicarakan tanpa kehadiran suami. Mahkamah boleh teruskan panggil saksi-saksi dan membuat keputusan.
“Sebab itu saya ajar masyarakat supaya ada ilmu. Bila kita tahu peruntukan undang-undang, kita boleh bertindak dan tidak terus terperangkap dalam penangguhan yang disengajakan,” katanya.
Dr. Mohd. Na’im sekali lagi menegaskan bahawa institusi kehakiman tidak boleh dijadikan medan untuk menyambung penderaan dalam rumah tangga.
“Jangan sesekali menggunakan sistem mahkamah untuk meneruskan penderaan, dendam atau kezaliman terhadap pasangan,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







